Berangkat melawat Education City

11 Nov 2026 - 7:15am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana MenteriFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Selasa, 10 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berangkat melawat Education City yang merangkumi kunjungan ke beberapa institusi terkemuka di Qatar yang berdedikasi terhadap pemeliharaan ilmu pengetahuan, penyelidikan saintifik dan inovasi teknologi.

Sejurus tiba di Education City, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah telah dijunjung oleh para pegawai kanan yang mewakili Qatar National Library (QNL), Qatar Environment and Energy Research Institute (QEERI) dan Qatar Science and Technology Park (QSTP).

Atur cara keberangkatan sebelah pagi bermula di QNL, di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri meninjau kemudahan serba canggih serta arkib luas yang menyimpan manuskrip- manuskrip langka dan bahan-bahan bersejarah yang mencerminkan warisan kaya rantau ini.

Semasa di QNL, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia juga telah disembahkan taklimat khas mengenai The Earthna Centre for a Sustainable Future. Taklimat tersebut mengetengahkan inisiatif nasional sepanjang tempoh lima tahun (2023-2028) dalam memulihkan 40 hektar kawasan bakau serta memperkukuh daya tahan pesisir pantai di wilayah Gerang.

DYTM dan YTM kemudiannya meneruskan lawatan ke QEERI dan disembahkan taklimat semasa lawatan berpandu di fasiliti tersebut. Lawatan ini termasuk tinjauan ke salah sebuah makmal canggih QEERI, yang mengetengahkan inisiatif penyelidikan Qatar dalam bidang keselamatan tenaga, pengurusan air, dan kelestarian alam sekitar.

Bahagian terakhir atur cara lawatan berlangsung di QSTP, sebuah hab utama bagi keusahawanan berasaskan teknologi dan pengkomersialan. DYTM dan YTM telah disembahkan taklimat mengenai peranan QSTP dalam memupuk inovasi, diikuti dengan lawatan di zon teknologi sebelum berangkat pulang.

Perjumpaan-perjumpaan ini menekankan kepentingan bersama antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar, khususnya dalam menyokong pembangunan modal insan, penyelidikan termaju, serta pembinaan ekonomi yang mampan dan berasaskan pengetahuan.