Pelan tindakan komprehensif tangani NCD, obesiti

11 Nov 2026 - 6:40am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. - Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (NCD) terus menjadi punca utama kepada kebanyakan kes kematian di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Mengikut anggaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 81 peratus kematian pada tahun 2021 adalah disebabkan oleh NCD.

Bukan itu sahaja, kebarangkalian bagi individu berumur antara 30 hingga 70 tahun yang meninggal dunia akibat penyakit jantung, kanser, diabetes atau penyakit pernafasan kronik dilaporkan berada pada kadar 14.9 peratus.

Mengikut dapatan daripada Kaji Selidik STEPS Kebangsaan 2022/23 turut mendedahkan status kesihatan semasa yang membimbangkan, di mana 65.7 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 69 tahun mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Di samping itu, hampir empat daripada 10 orang (39.8 peratus) dikesan mempunyai tekanan darah tinggi, namun hanya 21.8 peratus daripada jumlah tersebut yang berjaya mengawalnya.

Dari segi pemakanan pula, purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat adalah sebanyak 9.6g sehari, iaitu hampir dua kali ganda berbanding had yang disyorkan oleh WHO iaitu 5g sehari.

Begitu juga dengan penuaan penduduk yang merupakan satu lagi cabaran demografi yang utama. Kira-kira 36,300 orang iaitu 7.9 peratus, berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2025, dan jumlah ini dijangka mencecah kira-kira 54,700 orang menjelang 2040.

Perkembangan ini menandakan peningkatan bilangan individu yang akan hidup dengan pelbagai penyakit jangka panjang, kecacatan serta keperluan penjagaan khusus.

Malahan, aspek kesihatan mental juga memerlukan perhatian yang lebih rapi, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global (Global School-based Student Health Survey) 2019 mendapati 12.2 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun melaporkan sekurang-kurangnya satu percubaan membunuh diri dalam tempoh setahun sebelum tinjauan dibuat.

Selain itu, isu kebimbangan dan kemurungan kini termasuk antara lima punca utama kepada kehilangan tahap kesihatan bagi golongan berumur 10 hingga 24 tahun.

Justeru itu, bagi menangani isu-isu tersebut, Kementerian Kesihatan telah melancarkan dua kerangka tindakan utama komprehensif bagi dekad akan datang iaitu Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Negara Brunei Darussalam bagi Pencegahan dan Pengawalan NCD serta Promosi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan 2026-2035 (BruMAP NCDMH 2026–2035).

Kedua, Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Brunei Darussalam 2026-2035.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Bersama BruMAP NCDMH 2026-2035 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Brunei Darussalam 2026–2035 diadakan di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d'Seni, di ibu negara, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan BruMAP NCDMH 2026-2035 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Brunei Darussalam 2026–2035 ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

BruMAP NCDMH 2026-2035 membawa visi ke arah 'Brunei Darussalam yang lebih sihat dan berdaya tahan, di mana setiap orang dapat hidup sejahtera sepanjang kitaran hayat'.

Manakala misi pelan ini adalah untuk mempertingkat tindakan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat bagi mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit, menggalakkan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental, mewujudkan persekitaran yang lebih sihat serta menyediakan pencegahan, penjagaan dan sokongan yang saksama, bersepadu dan berpusatkan individu'.

 BruMAP NCDMH 2026–2035 merupakan pelan tindakan pelbagai sektor nasional ketiga bagi NCD dan yang pertama menggabungkan pencegahan serta kawalan NCD dengan promosi kesihatan mental dalam satu kerangka.

 Pelan ini menjadi kerangka kebangsaan untuk mencegah dan mengawal NCD, memperkukuh kesihatan mental dan meningkatkan kualiti hidup, meliputi penyakit seperti kardiovaskular, diabetes, kanser, penyakit pernafasan dan buah pinggang kronik serta kesihatan pergigian.

 Pelan ini turut menekankan peralihan daripada pengiraan aktiviti kepada pembuktian hasil, di samping memperluas tindakan daripada sektor kesihatan kepada pendekatan Whole of Government and Whole of Nation Delivery.

 Pelan ini digubal melalui kerjasama pelbagai sektor dengan sokongan teknikal WHO dan menggariskan enam objektif strategik yang meliputi tadbir urus, promosi kesihatan, pengesanan awal, penjagaan bersepadu, kesihatan mental serta data, kesihatan digital, penyelidikan dan inovasi.

 Pelan ini turut menekankan peralihan daripada mengukur aktiviti kepada membuktikan hasil, memperkukuh penjagaan bersepadu dan berpusatkan individu, serta menggalakkan tindakan berasaskan data melalui pendekatan seluruh kerajaan dan negara.

 BruMAP NCDMH 2026-2035 berjalan seiring dengan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Brunei Darussalam 2026-2035.

 Kedua-dua pelan, iaitu BruMAP NCDMH dan Pelan Strategik Obesiti Kementerian Kesihatan, membentuk usaha bersepadu untuk membendung peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa menjelang 2035. Brunei Darussalam turut menjadi antara negara perintis bagi Pelan Pecutan WHO untuk Menghentikan Obesiti.

 Antara inisiatif yang dirancang termasuk memperkenalkan perkhidmatan pengurusan berat badan khusus bagi kanak-kanak dan remaja, melaksanakan pemeriksaan BMI secara rutin, memperkukuh sistem rujukan kesihatan serta meningkatkan latihan profesional kesihatan dan pemantauan pertumbuhan di sekolah.

 Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, diikuti dengan ucapan pelancaran oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Turut hadir ialah wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, merangkap Ketua Pejabat Negara WHO, Dr. Rabindra Abeyasinghe, yang turut menyampaikan ucaptama.

Majlis berkenaan juga dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, serta individu-individu yang mempunyai pengalaman hidup berkaitan.

Melalui pelancaran bersejarah ini, Kementerian Kesihatan menaruh harapan agar rakyat Brunei dapat hidup lebih lama dalam keadaan sihat dengan sistem penjagaan yang dekat dan berterusan.

Keberhasilan ini mampu dicapai melalui amalan tanggungjawab bersama serta penerapan pendekatan seluruh masyarakat, demi sama-sama merealisasikan matlamat utama Wawasan Brunei 2035 : Kehidupan Rakyat yang berkualiti tinggi.