Penandatanganan perjanjian pengurusan jemaah Haji NBD

11 Nov 2026 - 6:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 ARAB SAUDI, Selasa, 10 November. - Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (NBD) Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi telah dimeterai pada Isnin, 9 November 2026 yang diadakan di Superdome, Jeddah, Arab Saudi.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, NBD, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku wakil Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah.

Sebelum majlis penandatanganan tersebut dimulakan, satu Perjumpaan Dua Hala telah diadakan bagi membincangkan hal ehwal pengurusan jemaah haji NBD bagi Musim Haji Tahun 1448H / 2027M nanti.

Turut hadir pada majlis tersebut, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar NBD di Arab Saudi, Awang Muhammad 'Azim bin Abdul Hadi; serta Pemangku Konsul Agung NBD di Jeddah dan rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji NBD Tahun 1448H / 2027M yang ditandatangani tersebut adalah merupakan kesinambungan hasil Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Jemaah Haji NBD bagi Musim Haji Tahun 1448H / 2027M yang telah diadakan secara dalam talian sebelumnya, yang memfokuskan keteraturan pengurusan jemaah haji mengikut peraturan dan tempoh masa yang telah ditetapkan bagi memastikan jemaah haji dapat melaksanakan manasik haji dalam keadaan selamat dan teratur.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah menghadiri Majlis Makan Malam pada 7 November 2026.

Seterusnya menghadiri Perjumpaan Ketua-ketua Delegasi bersama Tuan Yang Terutama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Perjumpaan Ketua-ketua Delegasi bersama Duli Yang Teramat Mulia Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz (Timbalan Gabenor Makkah) dan Majlis Perasmian 6th Edition of the Haji Conference and Exhibition di Arab Saudi pada 8 November 2026.