Berkenan melawat Paris Saint-Germain Football Academy Qatar

11 Nov 2026 - 7:10am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana MenteriFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berangkat melawat Paris Saint-Germain Football Academy Qatar bertempat di kampus University of Doha for Science and Technology (UDST), malam tadi, sebagai sebahagian dari Lawatan Rasmi ke Negara Qatar.

Berangkat sama, anakanda- anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri dijunjung oleh Pengurus Am Paris Saint-Germain Football Academy Qatar, Cyril Klosek.

Semasa lawatan itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia menyaksikan sesi latihan belia dan disembahkan taklimat mengenai usaha-usaha pembangunan sukan belia serta metodologi kejurulatihan yang diamalkan di Qatar.

Semasa lawatan tersebut, DYTM berkenan berinteraksi dengan seorang atlet muda Negara Brunei Darussalam yang sedang menjalani latihan di akademi berkenaan.

Ditubuhkan pada tahun 2019, Paris Saint-Germain Football Academy Qatar menyediakan latihan sukan berkualiti tinggi untuk ribuan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara 4 hingga 18 tahun di lokasi-lokasi utama seperti Education City dan UDST.

Dikendalikan oleh jurulatih yang memiliki pensijilan Union of European Football Associations (UEFA), akademi ini menerapkan falsafah permainan Paris Saint-Germain yang terkenal di seluruh dunia bagi mencungkil bakat atlet muda serta menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.