Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun MHBPT

26 Sep 2026 - 6:55am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

TUTONG, Jumaat, 25 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tengah hari tadi berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT).

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Kebawah DYMM berkenan merasmikan Pameran Khas dan Buku Kenangan Abadi MHBPT dan seterusnya menandatangani Plak Jubli Intan MHBPT.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Kebawah DYMM dan kerabat diraja seterusnya berkenan meninjau Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun MHBPT dan kemudiannya berkenan bergambar ramai dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir MHBPT.

Antara lain pameran berkenaan memaparkan sejarah perjalanan MHBPT sejak awal pembinaannya, program pendidikan, kelas - kelas pengajian, aktiviti - aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan kebajikan serta perancangan strategik masjid berkenaan.

Kebawah DYMM dan kerabat diraja seterusnya dijunjung ke Dewan Sembahyang Utama untuk menunaikan Sembahyang Sunat Hajat dan Sembahyang Fardu Jumaat Berjemaah.

Khutbah Jumaat Khas sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun MHBPT disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Yang Berhormat dalam Khutbah Jumaat Khas menjelaskan bahawa masjid adalah rumah Allah, bukan rumah sesiapa, maka janganlah masjid dihina, dirosakkan, apatah lagi dibakar.

Pada bulan Ogos yang lalu, Yang Berhormat menjelaskan di sebuah negara telah berlaku orang membakar masjid.

"Masjid rumah Allah dibakar, dibakar sampai musnah. Mereka yang membakar bersorak melihat masjid terbakar.

"Ketahuilah oleh semua bahawa Allah pemilik masjid, rumah-Nya, tidak tidur. Allah sekali-kali tidak tidur. Allah tidak pernah tidur.

"Maka hanya setelah sedikit masa berlalu, Allah secara tiba-tiba bertindak, membalas perbuatan jahat para pembakar rumah-Nya, dengan memerintahkan air dan tanah susur untuk menghanyutkan kediaman para pembakar masjid," ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya berkata, maka tampillah para pemberita membuat liputan berita bahawa korban banjir dan tanah susur adalah seramai 1,252 kematian dan 4,200 lagi masih hilang. Ini baharu anggaran awal.

Demikian itu, tegas Yang Berhormat lagi, Allah telah mengajar siapa yang membakar rumah-Nya, masjid.

Sembahyang Sunat Hajat diimamkan oleh Imam MHBPT, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof.  Sementara Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Ketua Imam MHBPT, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.

Manakala azan dan ma'syir dilaungkan oleh Bilal MHBPT, Awang Hazrin bin Haji Hassan.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada para pembesar negara, jemputan dan jemaah serta orang ramai.

Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun MHBPT dibukakan bagi kunjungan orang ramai selama tiga hari berturut-turut, iaitu Jumaat, 25 September 2026 bermula pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam, Sabtu, 26 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam dan Ahad, 27 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Beberapa program dan aktiviti seperti Ceramah Khas Muslimah, Program Bicara Belia, tazkirah, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, jualan Food Truck peniaga - peniaga tempatan akan berlangsung di sepanjang tiga hari acara sambutan berkenaan.

Bagi tujuan untuk mengimarahkan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun MHBPT, pelbagai program dan aktiviti telah diadakan sejak awal 2026 ini antaranya, Forum Perdana, aktiviti riadah Fun Run, Bengkel Wuduk, Program Belia dan Kempen Kebersihan.

MHBPT dirasmikan pada Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah DYMM (yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).

Sebagai sebuah masjid utama di Daerah Tutong, MHBPT berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai sebuah tempat beribadat semata-mata, tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan negara.

Berdiri megah sebagai salah satu mercu tanda keagamaan di Daerah Tutong, pembinaan MHBPT telah bermula pada 17 April 1965 di atas tanah wakaf yang disumbangkan oleh Allahyarham Awang Abdul Latif bin Khattab dan Allahyarham Awang Mohd. Daud bin Bujang.

Dibina dengan kos perbelanjaan sebanyak BND700,000, masjid berkenaan adalah khusus bagi menampung seramai 1,000 jemaah, sekali gus menjadi salah sebuah tempat ibadah utama bagi masyarakat Islam di Daerah Tutong.