Berkenan menerima mengadap Presiden Islamic Development Bank

7 Okt 2026 - 8:09am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan menerima mengadap Presiden Islamic Development Bank (IsDB), Tuan Yang Terutama Dr. Muhammad Al-Jasser.

Pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama Dr. Muhammad Al-Jasser telah berbincang bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan IsDB, khususnya melalui Country Engagement Framework (CEF). 

Perbincangan seterusnya memberi tumpuan terhadap memperluaskan peluang kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan kapasiti, usaha memperkukuh sekuriti makanan, pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta inisiatif yang dapat menyokong kepelbagaian ekonomi bagi mencapai Wawasan Brunei 2035. 

Tahun 2026 juga menandakan 40 tahun hubungan dan kerjasama antara NBD dan IsDB, sejak keahlian NBD pada 1986.

Menyertai Tuan Yang Terutama semasa Majlis Mengadap berkenaan, Ketua IsDB Centre of Excellence di Kuala Lumpur, Datuk Amer Bukvic; dan Pengarah di IsDB Regional Hub, Jakarta, Mr. Samer Elsawi.

Turut hadir semasa Majlis Mengadap berkenaan, Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Tuan Yang Terutama berada di NBD bagi menyaksikan pelancaran CEF for Brunei Darussalam. 

CEF berkenaan adalah hasil daripada bidang kerjasama yang dikenal pasti melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 28 Ogos 2024. 

Selain itu, CEF berkenaan merupakan sebuah rangka kerja strategik jangka masa sederhana di antara NBD dan IsDB, yang akan memacu kerjasama di sektor-sektor yang dikenal pasti bagi mendukung kemajuan sosioekonomi NBD dengan memberikan tumpuan terhadap memperluaskan peluang kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan kapasiti dan bidang-bidang yang lain, bagi menyokong Wawasan Brunei 2035.