Usaha perkukuh daya tahan ekonomi, cipta peluang pertumbuhan baharu

8 Okt 2026 - 5:45am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

JERUDONG, Rabu, 7 Oktober. – Pelancaran Country Engagement Framework (CEF) for Brunei Darussalam yang pertama antara Islamic Development Bank (IsDB) dan Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan kerjasama yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua belah pihak.

Semasa di temu bual, Presiden IsDB, Tuan Yang Terutama Dr. Muhammad Al-Jasser, menyatakan bahawa CEF menyediakan asas yang lebih tersusun bagi memperkukuh kerjasama, di samping membuka lembaran baharu yang memanfaatkan kekuatan NBD serta keupayaan lebih luas bagi IsDB.

Tuan Yang Terutama Presiden IsDB seterusnya menjelaskan, sebagai negara anggota pengasas IsDB, NBD telah menjadi rakan yang sangat penting dan berharga kepada IsDB sejak beberapa dekad lalu.

"CEF adalah dibina berasaskan hubungan tersebut dan telah membuka satu lembaran baharu dalam kerjasama, dengan memanfaatkan kekuatan NBD dan keupayaan IsDB," jelas Tuan Yang Terutama.

Seterusnya, TYT juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, serta Kementerian Kewangan atas kepimpinan, komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Menurut TYT lagi, CEF mencerminkan komitmen bersama untuk mendukung aspirasi pembangunan negara melalui kerjasama praktikal yang mampu menghasilkan manfaat dan hasil yang nyata. Selain itu, kerangka berkenaan juga selaras dengan Wawasan Brunei 2035, Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 serta Kerangka Strategik 10 Tahun IsDB 2026 hingga 2035.

"Keselarasan ini memberikan asas bersama yang kukuh dalam usaha mencapai pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan," kata TYT.

Mengulas mengenai bidang tumpuan utama CEF, TYT menjelaskan bahawa kerangka berkenaan berteraskan dua tonggak strategik, iaitu kewangan Islam yang mampan dan pembangunan sektor swasta.

Kedua-dua bidang berkenaan penting dalam usaha NBD memperkukuh daya tahan ekonomi, mempelbagaikan ekonomi serta mewujudkan peluang baharu bagi pertumbuhan yang mampan.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaannya jelas TYT lagi, tiga Kumpulan Kerja khusus akan ditubuhkan, masing-masing memberi tumpuan kepada Kewangan Islam, Keterjaminan Makanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Kumpulan Kerja berkenaan tambah TYT, akan menjadi platform bagi menggalakkan dialog dasar dan pertukaran pengetahuan, mengenal pasti peluang kerjasama serta membangunkan inisiatif yang dapat menterjemahkan keutamaan bersama kepada hasil yang konkrit.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menterjemahkan kerangka ini kepada hasil pembangunan yang bermakna serta nilai jangka panjang kepada rakyat NBD," ujar TYT.

Menyentuh mengenai semasa Majlis Mengadap Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, TYT turut menzahirkan penghargaan yang mendalam atas kesudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima mengadap TYT, di samping layanan mesra yang diberikan kepada TYT dan para delegasi.

TYT menyifatkan kesempatan berkenaan sebagai satu penghormatan untuk mendapatkan pandangan dan panduan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai bagaimana IsDB dapat terus memperkukuh perkongsian dengan NBD bagi menyokong aspirasi pembangunan jangka panjang serta keutamaan negara.

"Antara perkara yang diberi penekanan ialah peranan IsDB dalam menyokong transformasi ekonomi, kepelbagaian ekonomi, pembangunan sektor swasta, kewangan Islam dan pertumbuhan yang mampan.

"Saya amat menghargai panduan Kebawah DYMM mengenai bidang-bidang yang mana IsDB dapat memberikan sumbangan terbesar," kata TYT.

TYT turut memaklumkan bahawa TYT telah menyembahkan penerangan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM mengenai Kerangka Strategik 10 Tahun IsDB 2026–2035 serta Strategi Korporat Lima Tahun pertama bagi 2026–2030.

Menurut TYT, keutamaan baharu berkenaan mempunyai keselarasan yang rapat dengan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam bidang pembangunan modal insan, kepelbagaian ekonomi, kewangan Islam, daya tahan terhadap perubahan iklim serta pertumbuhan berasaskan pengetahuan.

CEF jelas TYT lagi, menyediakan platform praktikal bagi memajukan hala tuju strategik bersama dan mengenal pasti peluang untuk memperdalam kerjasama antara IsDB dengan NBD.

"Perbincangan kami menegaskan semula hubungan perkongsian yang telah lama terjalin serta komitmen bersama terhadap pembangunan yang mampan dan inklusif.

"IsDB kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Kebawah DYMM dalam menterjemahkan keutamaan tersebut kepada inisiatif praktikal yang memberikan hasil bermakna kepada rakyat NBD," ujar TYT lagi mengakhiri temu bual.