DYTM berkenan menerima mengadap

7 Okt 2026 - 8:02am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

JERUDONG, Selasa, 6 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan menerima mengadap Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Tuan Nikolas Myint, bertempat di Istana Nurul Izzah, Jerudong.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen mengucapkan tahniah kepada Tuan Nikolas Myint atas pelantikan sebagai Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya merakamkan penghargaan atas hubungan erat yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta mengalu-alukan peluang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

DYTM juga berkenan menerima Surat Pelantikan Tuan Nikolas Myint. Tuan Nikolas Myint telah dilantik sebagai Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama António Guterres pada 31 Mei 2026.