Kursus mempertingkatkan hasil keselamatan, kesihatan pekerjaan

8 Okt 2026 - 5:40am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara Islam (SESRIC) telah berjaya menganjurkan kursus latihan selama dua hari bertajuk ‘Building a Fundamental Occupational Safety and Health (OSH) Database’ pada 5 dan 6 Oktober 2026.

Kursus tersebut dilaksanakan dengan sokongan teknikal daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Malaysia.

Kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SHENA untuk memperkukuh keupayaan kebangsaan dalam pengumpulan, pengurusan, pengesahan, analisis dan pelaporan data Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Melalui peningkatan kompetensi ini, program tersebut bertujuan menyokong proses membuat keputusan berasaskan bukti serta pembangunan intervensi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang lebih berkesan.

Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif, SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad menekankan peranan penting data yang boleh dipercayai dalam mengenal pasti risiko di tempat kerja, mengenal pasti trend yang muncul serta membimbing usaha-usaha pencegahan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, majikan, pekerja dan pihak berkepentingan lain dalam memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan penggunaan data KKP secara berkesan.

Program tersebut menghimpunkan wakil daripada agensi kerajaan, pertubuhan majikan dan pekerja serta pihak berkepentingan lain yang berkaitan.

Para peserta diperkenalkan kepada konsep asas statistik keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan dan integrasi data, pengesahan data dan jaminan kualiti, analisis dan pentafsiran data, serta pelaporan dan penandaarasan.

Latihan amali dan kajian kes turut memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan konsep-konsep tersebut dalam senario sebenar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Di samping itu, para peserta turut meneroka pendekatan bagi meningkatkan ketekalan, kualiti dan kebolehpercayaan data KPP, termasuk konsep ‘single source of truth’ atau sumber rujukan tunggal yang berautoriti.

Perbincangan juga menekankan kepentingan mengguna pakai pendekatan yang konsisten dalam pengumpulan data, menyelaraskan amalan kebangsaan dengan piawaian statistik antarabangsa, serta memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaporan prestasi KKP.

Dalam ucapan penutupnya, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi, SHENA, Dayang Salmaya Rahayu binti Salleh menggalakkan para peserta untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh dalam organisasi masing-masing serta terus berkongsi pengalaman dan amalan terbaik bagi mempertingkatkan hasil keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Melalui kerjasama dengan SESRIC dan NIOSH Malaysia ini, SHENA terus memperkukuh penggunaan data KPP yang boleh dipercayai sebagai asas kepada strategi pencegahan yang berkesan dan penggubalan dasar yang lebih bermaklumat.

Disokong oleh kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan, usaha ini akan menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat serta mengukuhkan komitmen SHENA dalam memastikan Negara Brunei Darussalam kekal sebagai tempat yang selamat untuk bekerja dan didiami.