Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman serta rombongan yang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Keberangkatan Negara selama tiga hari mulai 2 hingga 4 November 2026 yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.
Terdahulu, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.
Berangkat sama ke The Empire Brunei bagi menjunjung Kebawah DYMM Sultan Oman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Kerabat Pengiring.
Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, Kebawah DYMM Sultan Oman disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh para penuntut dan guru-guru daripada beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.
Majlis Sambutan Kenegaraan berlangsung di pekarangan Istana Nurul Iman, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Kebawah DYMM Sultan Oman menaiki Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam.
Kedua - dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Kebawah DYMM Sultan Oman kemudiannya disembahkenalkan kepada kerabat diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Timbalan - timbalan Menteri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Ketua-ketua Perwakilan Asing; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Setiausaha - setiausaha Tetap daripada JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan rasmi Kesultanan Oman.
Selesai Majlis Sambutan Kenegaraan, Kebawah DYMM berangkat bersama Kebawah DYMM Sultan Oman ke Cheradi Laila Kenchana bagi Majlis Mengadap.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador - at - Largedi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Turut berangkat mengiringi Kebawah DYMM Sultan Oman ialah His Highness Sayyid Shihab bin Tarik Al Said, Deputy Prime Minister for Defence Affairs.
Majlis Mengadap tersebut diikuti dengan Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam ‘Darjah Kerabat Mahkota Brunei’ (D.K.M.B) yang dipersembahkan oleh Kebawah DYMM Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Sultan Oman. Kebawah DYMM Sultan Oman juga berkenan mempersembahkan Bintang Kebesaran ‘Order of Al-Said’ Kehadapan Majlis Kebawah DYMM.
Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah rombongan rasmi Kesultanan Oman dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring.