Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan mengadakan Majlis Mesyuarat Dua Hala bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman, bertempat di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, di sini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Kerabat Pengiring.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik serta rombongan yang mana Keberangkatan Negara yang bersejarah ini, menandakan keberangkatan pertama Sultan Oman, dan menyentuh hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara sekian lama terjalin melebihi empat dekad.
Kebawah DYMM bertitah turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan peribadi Kebawah DYMM Sultan Oman dalam mengukuhkan persahabatan erat antara kedua-dua buah negara, termasuk melalui Mesyuarat Perundingan Dua Hala, yang memudah cara kerjasama praktikal serta penubuhan Oman-Brunei Investment Company (OBIC).
Baginda seterusnya bertitah menyambut baik peningkatan hubungan dua hala kepada 'Strategic Partnership', serta kemajuan berterusan dalam hubungan ASEAN-GCC, dan menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk bekerjasama rapat dengan Kesultanan Oman dan rakan-rakan GCC yang lain dalam bidang - bidang kepentingan bersama, seperti perdagangan, perubahan iklim, dan inovasi digital.
Kebawah DYMM dalam titah juga menekankan pentingnya memelihara kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, sambil menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah serta kesannya kepada orang awam dan infrastruktur.
Baginda selanjutnya bertitah turut memuji usaha pengantaraan Kesultanan Oman di bawah kepimpinan Kebawah DYMM Sultan Oman, serta memperakui kepentingan dialog dan diplomasi yang berterusan dalam menangani ketegangan serantau demi memupuk keamanan dan kestabilan.
Dalam titah Kebawah DYMM turut menyentuh isu Palestin kekal sebagai teras utama dalam mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah dan mengesahkan sokongan NBD terhadap rakyat Palestin dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka melalui two-state solution, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Sementara itu, Kebawah DYMM Sultan Oman dalam titah turut menyatakan kepuasan yang amat tinggi terhadap perkembangan hubungan ekonomi dan pelaburan antara NBD dan Kesultanan Oman seperti OBIC.
Kebawah DYMM Sultan Oman seterusnya bertitah berharap syarikat tersebut akan merebut dan meneroka peluang-peluang pelaburan baharu dalam pelbagai sektor di kedua-dua buah negara.
Baginda seterusnya menghargai minat Kebawah DYMM dan usaha Kerajaan Kebawah DYMM dalam membangunkan perkongsian ekonomi antara kedua-dua buah negara.
Kebawah DYMM Sultan Oman juga bertitah menegaskan Kesultanan Oman komited untuk meningkatkan hasil bukan minyaknya dan melihat NBD sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Asia yang lebih luas. Begitu juga, NBD boleh memperoleh manfaat daripada kedudukan unik Kesultanan Oman sebagai hab yang menghubungkan Teluk, Timur Tengah dan Afrika, mewujudkan aliran barangan dan kepakaran yang lancar antara kedua-dua buah wilayah.
Kebawah DYMM Sultan Oman seterusnya bertitah menantikan prospek dan perkongsian yang memberangsangkan dalam bidang minyak, gas, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan, pengangkutan maritim dan logistik serta sektor-sektor lain, seterusnya menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi di kedua-dua buah negara. Di samping itu, terdapat potensi yang besar untuk kerjasama dalam inovasi, teknologi, pendidikan dan keusahawanan.
Kedua-dua pemimpin seterusnya bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.