Berkenan merasmikan Pameran Khas Foto Jalinan Kesultanan di antara NBD dan Kesultanan Oman

4 Nov 2026 - 6:10am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman berkenan berangkat bagi menyempurnakan Perasmian Pameran Khas Foto Jalinan Kesultanan di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kesultanan Oman.

Majlis berkenaan berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Kerabat Pengiring; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dijunjung oleh Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Turut mengiringi, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, diikuti dengan perasmian pameran.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Sultan Oman kemudian berkenan menyaksikan Pameran Khas Foto Jalinan Kesultanan di antara NBD dan Kesultanan Oman dan seterusnya berkenan dijunjung bergambar ramai.

Pameran berkenaan mengetengahkan koleksi foto yang menggambarkan hubungan persahabatan, diplomatik dan kerjasama antara NBD dengan Kesultanan Oman yang terjalin sejak 24 Mac 1984.

Pameran berkenaan berlangsung dari 3 hingga 9 November 2026 di BKISHHB.

Manakala pameran akan diadakan pada 14 November 2026 hingga 31 Disember 2026 di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

Pameran ini dibukakan kepada orang ramai setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada Jumaat.