Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Jabatan Daerah Temburong
TEMBURONG, Selasa, 4 Ogos. – Seiring berjalannya waktu dengan meniti cabaran arus globalisasi, satu hakikat yang perlu ditanam dalam jati diri setiap insan yang bergelar anak watan bahawa tanggungjawab ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 bukanlah hanya terletak kepada pihak kerajaan semata-mata, akan tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak, iaitu swasta, pemimpin akar umbi, persatuan-persatuan dan semua individu di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Wawasan Brunei 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan bagi memastikan supaya NBD mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Daerah Temburong juga tidak terkecuali dalam terus mengecapi perkembangan dan kemajuan yang signifikan ke arah pembangunan menyeluruh seperti pembangunan fizikal, kerohanian dan ekonomi lebih-lebih dalam kita meniti kehidupan bermasyarakat tidak kira agama dan bangsa, sejajar dalam kita terus memartabatkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seorang raja, pemimpin dan khalifah di bumi yang kita cintai ini.
Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual beberapa pemimpin akar umbi di Daerah Temburong bagi mengetahui pandangan peribadi mereka dalam usaha bersatu mengecapi kemajuan NBD di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80, Tahun 2026 bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, pagi tadi.
Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar terdahulu menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhannahu Wata'ala atas pemedulian kerajaan Kebawah DYMM yang sentiasa menjaga dan memelihara keamanan dan kesejahteraan negara serta amat mementingkan pembangunan dan kemajuan serta prihatin terhadap kebajikan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk di NBD tidak terkecuali rakyat dan penduduk yang menetap di Daerah Temburong.
"Pembangunan dan perkembangan di Daerah Temburong pada pandangan saya perlu menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.
"Sebagai Permata Hijau NBD, Daerah Temburong memiliki khazanah biodiversiti yang amat bernilai serta berpotensi besar untuk memacu pembangunan ekonomi hijau yang mampan," ujarnya lagi.
Awang Hassan Baha turut menambah, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta penyediaan infrastruktur moden juga telah membuka lebih banyak peluang pelaburan, keusahawanan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Dengan kepimpinan yang berwawasan serta perancangan pembangunan yang setara jelas beliau lagi, Daerah Temburong berpotensi menjadi model pembangunan yang berjaya mengimbangi kemajuan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
Usaha berkenaan tambahnya, bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah turut memperluaskan peluang dan meningkatkan kesejahteraan generasi yang akan datang.
"Bagi seluruh rakyat dan penduduk Daerah Temburong, dalam kesempatan ini, menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Kami amat bersyukur atas kepimpinan baginda yang bijaksana dalam memacu kemajuan negara, menjaga kebajikan rakyat serta membawa pembangunan yang dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
"Patik mewakili warga Perkhidmatan Awam, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta seluruh rakyat dan penduduk Daerah Temburong dengan penuh hormat merafakkan sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM yang ke-80.
"Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan Kebawah DYMM lanjut usia, sihat walafiat, kekal karar memerintah NBD serta sentiasa berada di bawah perlindungan dan hidayah-Nya, Amin Ya Rabbal Alamin. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik," ujar Pemangku Pegawai Daerah Temburong di akhir temu bual.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong turut berkongsi pandangan peribadi bahawa Daerah Temburong juga tidak ketinggalan untuk terus menikmati arus pembangunan yang semakin pesat, tersusun dan inklusif, khususnya dalam aspek sosioekonomi dan ekopelancongan.
Perkembangan berkenaan kata Yang Berhormat lagi, adalah hasil daripada kepimpinan serta kebijaksanaan Kebawah DYMM yang sentiasa menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pembangunan yang seimbang antara kemajuan fizikal dan nilai-nilai murni masyarakat.
"Sebagai pemimpin akar umbi di Daerah Temburong, saya melihat dengan penuh optimis bahawa masyarakat setempat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang semakin menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan penglibatan dalam pembangunan ekonomi komuniti.
"Semangat kerjasama, muafakat dan gotong-royong yang sudah sekian lama wujud telah menjadikan budaya masyarakat kita terus subur dan menjadi asas kepada kejayaan pelbagai inisiatif di peringkat kampung dan daerah," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan antara inisiatif yang amat signifikan dapat kita lihat ialah program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), yang telah membuka ruang dan peluang luas kepada para usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk-produk berasaskan sumber asli, warisan budaya, makanan tradisional serta kraf tangan tempatan.
Produk-produk berkenaan kata Yang Berhormat lagi, bukan sahaja mencerminkan identiti dan keunikan Daerah Temburong, malah berpotensi besar untuk diperkembangkan ke pasaran yang lebih luas, termasuk sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.
Dalam masa yang sama tambah Yang Berhormat, Daerah Temburong terus menyerlah sebagai Permata Hijau Brunei yang kaya dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Hutan hujan tropika yang menghijau, sungai yang jernih, air terjun di tasik-tasik yang memukau serta pelbagai destinasi ekopelancongan seperti Taman Negara Ulu Temburong telah menjadikan daerah ini sebagai salah satu destinasi utama pelancongan berasaskan alam semula jadi di NBD.
"Keunikan ini bukan sahaja menarik minat pelancong, malah turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk setempat serta merangsang pertumbuhan ekonomi kecil dan sederhana.
"Apa yang lebih penting lagi, kita melihat bahawa pembangunan ekopelancongan di Daerah Temburong dilaksanakan secara berhemah dan lestari, selaras dengan usaha negara dalam memelihara alam sekitar. Pendekatan ini memastikan khazanah alam semula jadi yang kita miliki hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang, di samping menyokong agenda pembangunan mampan negara.
"Walau bagaimanapun, kita tidak harus berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Cabaran masa kini menuntut kita untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, sektor swasta, pemimpin masyarakat, belia serta para usahawan tempatan. Ke arah itu penekanan perlu diberikan kepada peningkatan kualiti produk, inovasi, penjenamaan, serta penggunaan teknologi digital dan platform e-dagang dalam memperluaskan pencapaian kebolehpasaran," tegas Yang Berhormat.
Selain itu, Yang Berhormat turut menyentuh dari segi aspek pembangunan modal insan juga perlu terus diperkasa melalui latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan pendedahan kepada peluang ekonomi baharu, agar masyarakat Temburong lebih berdaya saing, progresif dan mampu berdikari dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin dinamik.
"InsyaaAllah, dengan semangat perpaduan yang kukuh, iltizam yang berterusan serta sokongan padu daripada semua pihak, saya yakin Daerah Temburong akan terus melangkah maju sebagai sebuah daerah yang bukan sahaja makmur dari segi ekonomi, malah unggul dalam pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Ini seterusnya akan menyumbang secara signifikan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035," ujar Yang Berhormat lagi.
Turut berkesempatan ditemu bual ialah Ketua Kampung Tingkat I, Kampung Belais dan Buda-Buda, Mukim Bokok, Daerah Temburong, Awang Mohammad Afnan bin Haji Gapor menjelaskan begitu mustahak penerapan nilai-nilai perpaduan berkenaan sentiasa disemai dalam kalangan penduduk kampung dalam usaha menjayakan pelbagai aktiviti mahupun program demi meningkatkan semangat kemasyarakatan, sosioekonomi mahupun ekopelancongan lebih-lebih dalam kita sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035 di bawah pimpinan Kebawah DYMM.
"Alhamdulillah, sebagai pemimpin akar umbi khususnya di kampung tadahan saya, iaitu Kampung Belais dan Buda-Buda, saya bersyukur kerana penduduk-penduduk kampung di sini masih mengekalkan semangat gotong-royong dan saling bantu-membantu yang menjadi teras perpaduan kita," kongsinya.
Apabila menyentuh mengenai nilai perpaduan, beliau berkata ia sememangnya bermula daripada perkara-perkara kecil antaranya melalui adanya penganjuran majlis keramaian kampung seperti tahlil arwah sekampung, sambutan hari raya sekampung, bergotong-royong dan juga sambutan hari keluarga, kerana aktiviti-aktiviti sebegini pastinya boleh merapatkan lagi silaturahim di antara penduduk kampung.
Awang Mohammad Afnan seterusnya menjelaskan begitu juga dengan adanya pelaksanaan mesyuarat bersama Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), ia dapat mengukuhkan lagi dalam apa jua perancangan aktiviti atau program di sesebuah kampung. Hal berkenaan kerana tanpa ahli yang kukuh, pemimpin pun tidak akan kukuh.
Tegas Awang Mohammad Afnan lagi, satu perkara yang juga penting agar dapat meningkatkan nilai perpaduan antara seluruh penduduk kampung ialah amalan ziarah. Setiap tahun MPK Belais dan Buda-Buda dan juga Biro Wanita MPK akan mengadakan beberapa program seperti Program Berdudun Merisik Khabar termasuklah menziarahi warga emas yang susah, bertanya khabar dan juga menyalurkan bantuan untuk persiapan hari raya.
"Walau bagaimanapun, perpaduan dan penglibatan tidak datang dengan sendirinya, ia perlu dipimpin dengan contoh, dipupuk dengan komunikasi dan dikekalkan dengan aktiviti yang memberi manfaat terus kepada masyarakat secara menyeluruh.
"Selagi kita bersatu di bawah payung naungan Kebawah DYMM, InsyaaAllah Kampung Belais dan Buda-Buda akan terus maju dan menjadi contoh kampung yang harmoni di Daerah Temburong," ujar beliau di akhir temu bual.