Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 17 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) Ke-29.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Pada Sidang Kemuncak APT Ke-29 berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para Pemimpin ASEAN yang lain mengimbas kembali penubuhan rangka kerja APT susulan Krisis Kewangan Asia 1997.
APT menghampiri kerjasama selama tiga dekad, baginda bertitah menekankan kepentingan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi bersedia menghadapi krisis pada masa hadapan dan bertindak balas secara proaktif sebelum ia meruncing.
Bagi memperkukuh daya tahan serantau melalui kerjasama yang lebih erat dalam perdagangan maritim, kesalinghubungan logistik serta sekuriti tenaga dan makanan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan hubungan rapat antara makanan, tenaga dan pengangkutan kerana bidang - bidang ini saling berkaitan, dengan pengeluaran dan pengedaran makanan bergantung kepada tenaga dan pengangkutan yang terjamin.
Kebawah DYMM bertitah bahawa gangguan merentasi sektor - sektor ini boleh menyebabkan kekurangan bekalan, kenaikan harga dan kelewatan dalam penghantaran barangan keperluan asas.
Baginda seterusnya bertitah mencadangkan agar dikaji bagaimana pengaturan sedia ada dapat berfungsi bersama apabila beberapa sektor berada di bawah tekanan secara serentak, dengan hasil penemuan tersebut dijadikan panduan bagi penambahbaikan praktikal dalam penyelarasan dan tindak balas.
Kebawah DYMM bertitah mencadangkan agar APT mempertimbangkan untuk menjalankan latihan bersama yang melibatkan agensi makanan, tenaga dan pengangkutan bagi menilai penyelarasan dan tindak balas di Negara-negara ASEAN dan Plus Three. Penglibatan yang lebih erat dengan pihak perniagaan dan pengendali logistik boleh membantu mengenal pasti laluan penghantaran atau pembekal alternatif serta menangani halangan yang berpotensi sebelum gangguan berlaku. Usaha-usaha ini akan membantu mengekalkan akses kepada bekalan keperluan asas dan mengehadkan peningkatan kos yang ditanggung oleh rakyat semasa krisis.