BFF 2026 himpunkan komuniti kecergasan dalam, luar negara

1 Og 2026 - 8:36am

 Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Hernie Suliana Othman

JERUDONG, Jumaat, 31 Julai. - Brunei Fitness Festival (BFF) 2026 dan Cabaran The Huntr Challenge yang dianjurkan oleh Huntr Evnts Sendirian Berhad telah dirasmikan malam tadi, bertempat di Dewan BRIDEX 2, Jerudong, di sini.

Cabaran The Huntr Challenge menyaksikan penyertaan daripada atlet-atlet kecergasan fizikal luar negara seperti Amotti dari Republik Korea Selatan serta Kiat Lee, Saiful Iskandar, Kyle See dan Saddam Pittli dari Malaysia.

Manakala Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Alim Roslan, Nazri Mastani, Mayul dan Fathurrahman.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan  BFF 2026 dan Cabaran The Huntr Challenge ialah Menteri Kesihatan,  Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya melawat gerai-gerai jualan yang disediakan sepanjang cabaran berlangsung.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan Persembahan Dron.

Dibukakan kepada kunjungan orang ramai, BFF 2026 diadakan sehingga Ahad, 2 Ogos 2026 dengan diisikan pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘Empowher Run 2026’ dan ‘SIMPLYSITI Fun Run’.

BFF 2026 yang disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan, dikuasakan oleh Imagine Sdn. Bhd. ini mengetengahkan aktiviti fizikal dan kecergasan untuk menerapkan gaya hidup yang aktif dan sihat.