Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini melancarkan secara rasmi Cawangan Yayasan baharunya di tengah ibu negara sebagai satu lagi langkah memperkukuh pengalaman pelanggan, di samping meraikan warisan, bakat kreatif dan semangat keusahawanan Negara Brunei Darussalam.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Kumpulan BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, Ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD, Ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD, wakil-wakil agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakan korporat, serta warga pengurusan dan kakitangan BIBD.
Cawangan baharu berkenaan berfungsi sebagai hab perkhidmatan pelanggan bersepadu yang menghimpunkan Pusat Kad BIBD, BIBD Ar-Rahnu dan BIBD Perdana di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan pelbagai perkhidmatan perbankan, pengurusan kekayaan dan penyelesaian kewangan secara lebih cekap dan menyeluruh.
Pelancaran tersebut turut menyaksikan pengenalan generasi baharu kad debit BIBD yang diinspirasikan daripada identiti budaya Brunei. Reka bentuk koleksi tersebut mengetengahkan mercu tanda ikonik seperti Kampong Ayer dan Tamu Kianggeh sebagai simbol hubungan antara warisan negara dengan aspirasi ke arah masa depan digital.
Inisiatif itu turut membuka peluang kepada artis tempatan dan usahawan kreatif untuk mempamerkan hasil karya mereka melalui produk yang digunakan oleh pelanggan setiap hari.
Kad Eco Edisi Terhad menampilkan hasil karya pengasas Arteliery Studio, Dayang Rashidah binti Haji Yusof, manakala Kad BIBD Flex menampilkan ilustrasi oleh Joanita Zain daripada JellybeanDreams. Konsep kad debit yang diperbaharui pula dibangunkan oleh pasukan kreatif dalaman BIBD yang diketuai oleh Awang Zahirul Ghazi bin Jomari bersama Awang Haji Amir Anwar bin POKPS Dato Paduka Haji Abdul Rahman dari Bahagian Pemasaran BIBD.
Selain memperkukuh perkhidmatan perbankan, Cawangan Yayasan turut menyediakan ruang runcit khas di bawah Projek TUNAS bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka serta meluaskan capaian pasaran.
Cawangan BIBD Perdana Yayasan turut menampilkan produk daripada jenama tempatan termasuk Tropique, pengeluar coklat artisan premium yang diasaskan oleh Dayang Lina binti Dato Idris, serta Angkasa Oud Agarwood Company, sebuah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dari Daerah Tutong milik Awang Haji Muhamad Nur Adli bin Haji Hanafi yang menghasilkan pelbagai produk gaharu premium.
Pelancaran ini juga menyokong agenda transformasi digital negara melalui galakan penggunaan pembayaran digital yang lebih selamat dan lancar, di samping mempromosikan kreativiti tempatan.
Bersempena pembukaan cawangan berkenaan, BIBD turut memperkenalkan Kad Debit Eco Platinum Edisi Terhad yang diinspirasikan daripada seni bina warisan Brunei dan akan ditawarkan menerusi kempen khas kepada pelanggan.
Kad debit baharu tersebut turut dilengkapi ciri keselamatan yang dipertingkatkan, termasuk penempatan maklumat sensitif pada bahagian belakang kad serta penggunaan butiran bercetak menggantikan cetakan timbul, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kemudahan penggunaan.
Dalam pada itu, BIBD turut mengingatkan pelanggan agar sentiasa berwaspada dalam melindungi maklumat peribadi dan kewangan, termasuk tidak berkongsi nombor PIN, kata laluan, kata laluan sekali guna (OTP), nombor CVV atau maklumat kad dengan mana-mana pihak, selain memanfaatkan fungsi mengunci atau membekukan kad melalui aplikasi BIBD NEXGEN.
Menurut Awang Haji Mohammad Yusri, pembukaan Cawangan Yayasan mencerminkan komitmen BIBD dalam mempertingkat pengalaman perbankan pelanggan sambil terus menghargai identiti negara, memperkasa bakat tempatan dan menyokong pembangunan ekonomi yang lebih inklusif, inovatif serta berdaya saing.