BIBD perluas akses pelaburan sukuk di NBD

7 Okt 2026 - 6:23am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kini memperluas akses kepada peluang pelaburan sukuk menerusi Program Sukuk Wakalah BND200 juta (BND200 million Sukuk Wakalah Programme) yang bukan sahaja terbuka kepada pelabur institusi, malah turut menyediakan peluang kepada pelabur individu yang memenuhi syarat kelayakan.

Melalui BIBD Securities’ Fractional Sukuk Offering, pelabur yang layak boleh mengambil bahagian dengan pelaburan minimum sebanyak BND5,000, seterusnya membuka akses lebih luas kepada kelas aset korporat patuh syariah yang sebelum ini kurang mudah diakses oleh pelabur individu di Negara Brunei Darussalam (NBD)

Program tersebut merupakan satu langkah penting dalam mempelbagaikan sumber pembiayaan jangka panjang BIBD, di samping menyumbang kepada perkembangan pasaran modal domestik yang lebih luas dan aktif.

Sehubungan itu, BIBD hari ini menghoskan Forum BIBD Sukuk Issuance Investors yang menghimpunkan para pelabur institusi bagi sesi libat urus untuk meningkatkan pemahaman mengenai sukuk sebagai kelas aset pelaburan serta menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam pasaran modal Islam negara.

Forum berkenaan diadakan susulan pelancaran Program Sukuk Wakalah BND200 juta BIBD baru-baru ini, yang dimulakan dengan penerbitan sulung bagi tempoh tiga tahun.

Forum yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu menampilkan dua sesi perbincangan panel, iaitu ‘Structuring BIBD’s Landmark Sukuk’ dan ‘Unlocking Growth Through Sukuk’.

Sesi pertama memberikan penerangan mengenai struktur dan ciri-ciri utama penerbitan Sukuk BIBD, manakala sesi kedua membincangkan peranan lebih luas sukuk dalam menyokong pelaburan dan pembangunan berterusan pasaran modal NBD.

Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah berkata, program berkenaan bertujuan untuk mewujudkan nilai kepada BIBD serta menyokong perkembangan landskap pelaburan domestik. 

“Bagi BIBD, program ini menyediakan sumber pembiayaan jangka panjang tambahan serta menyokong usaha mempelbagaikan asas pembiayaan kami.

“Lebih penting lagi, program ini turut menyumbang kepada peluasan rangkaian peluang pelaburan yang tersedia di pasaran tempatan,” katanya.

Menurut beliau, peluasan akses kepada sukuk korporat memberikan para pelabur lebih banyak pilihan dalam membina portfolio yang selaras dengan objektif kewangan dan nilai pelaburan individu.

“Akses kepada sukuk korporat domestik sejak sekian lama agak terhad. Oleh itu, kami berbesar hati untuk memperkenalkan satu lagi pilihan pelaburan kepada para pelanggan yang ingin mempelbagaikan portfolio mereka, selain memastikan pelaburan tersebut kekal selaras dengan prinsip syariah.

“Kami juga berharap agar ini menjadi permulaan kepada perkembangan selanjutnya dalam pasaran modal NBD, dengan lebih banyak peluang pelaburan tersedia kepada pelabur institusi dan individu dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan pelabur bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan pemahaman yang jelas mengenai produk yang ditawarkan.

“Setiap pelabur mempunyai keadaan, objektif dan tahap toleransi risiko yang berbeza. Matlamat kami adalah untuk memberikan para pelabur pemahaman yang lebih jelas mengenai Sukuk agar mereka dapat membuat penilaian berasaskan maklumat berdasarkan matlamat kewangan dan keperluan pelaburan masing-masing,” katanya.

Selain memperluas akses kepada peluang pelaburan, forum berkenaan turut memberi penekanan kepada pendidikan pelabur dan pembuatan keputusan yang bermaklumat.

Para peserta diberikan penerangan mengenai mekanisme sukuk, struktur asasnya, potensi pulangan, risiko berkaitan serta pertimbangan penting lain yang perlu difahami sebelum membuat keputusan pelaburan.

Forum tersebut selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan Negara Brunei Darussalam 2026-2035 (FSBP) yang menekankan kepentingan celik kewangan serta peningkatan pemahaman orang ramai mengenai ciri-ciri, manfaat dan risiko produk serta perkhidmatan kewangan.

BIBD melihat Program Sukuk Wakalah itu sebagai sebahagian daripada komitmen lebih luas dalam menyokong perkembangan berterusan ekosistem kewangan Islam di NBD.

Dengan kewangan Islam dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama transformasi sektor kewangan negara, BIBD kekal komited menyokong seruan FSBP untuk meneruskan inovasi dalam sukuk serta instrumen pelaburan lain yang patuh syariah.

Pelancaran Sukuk BIBD juga menyokong aspirasi negara dalam membangunkan sektor kewangan yang berdaya tahan, inklusif dan inovatif, yang menyumbang kepada transformasi ekonomi yang mampan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Melalui inisiatif seperti Program Sukuk Wakalah, akses inklusif kepada pelaburan sukuk serta penglibatan berterusan dengan para pelabur, BIBD kekal komited untuk memperkukuh kewangan Islam, meningkatkan tahap celik kewangan dan penyertaan pelabur serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem kewangan NBD yang lebih kukuh, pelbagai dan bersedia menghadapi masa hadapan.