Ketua HSSE BFI terima pengiktirafan antarabangsa

7 Okt 2026 - 6:26am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad

 

COVENTRY, UNITED KINGDOM, Selasa, 6 Oktober. - Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad (BFI) dengan bangganya mengumumkan bahawa Ketua Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) BFI, Yasser Mohamed, telah menerima Anugerah Kish Shah 2026 daripada International Fertiliser Society (IFS).

Anugerah antarabangsa itu mengiktiraf sumbangan cemerlang dalam memajukan amalan Keselamatan, Kesihatan, Alam Sekitar dan Sekuriti dalam industri baja nitrogen.

Yasser merupakan penerima kedua anugerah tersebut yang diperkenalkan pada 2024 oleh pakar keselamatan industri baja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Kish Shah. Anugerah berkenaan diberikan setiap dua tahun, dengan penerima dipilih oleh ahli Majlis IFS bersama Kish Shah.

Seiring dengan penerimaan anugerah tersebut, Yasser turut menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Experiences and Lessons Learnt on the Safe Construction, Commissioning and Operating of a Greenfield Ammonia and Urea Plant’ pada Persidangan IFS 2026 yang berlangsung di University of Warwick, Coventry, United Kingdom, dari 30 September hingga 1 Oktober 2026.

Pembentangan itu mengetengahkan pengalaman BFI dalam membangunkan budaya keselamatan yang kukuh dan berdaya tahan sepanjang proses pembinaan, pentauliahan dan pengoperasian loji ammonia dan urea pertama di Negara Brunei Darussalam.

Ia turut menggariskan cabaran dalam membangunkan kemudahan pengeluaran baja ‘greenfield’, termasuk membina budaya keselamatan bersama dalam kalangan pekerja daripada pelbagai latar belakang profesional, menguruskan aktiviti pembinaan dan operasi yang dijalankan serentak, mengintegrasikan sistem keselamatan proses yang kompleks serta memastikan kesediaan dari segi kawal selia sebelum operasi dimulakan.

Pendekatan BFI menggabungkan tadbir urus operasi yang kukuh, kawalan risiko secara proaktif, pembangunan kecekapan tenaga kerja serta prinsip Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Usaha tersebut telah menyumbang kepada pencapaian lebih lima juta jam kerja selamat tanpa kecederaan yang perlu direkodkan.

IFS mengiktiraf peranan penting Yasser dalam membangunkan budaya keselamatan yang menjadi contoh dalam sebuah lokasi yang mempunyai sejarah perindustrian yang terhad sebelum ini.

Persatuan itu turut menyatakan bahawa pengalaman yang dikongsikan oleh BFI menawarkan pengajaran bernilai kepada organisasi yang terlibat dalam pembuatan baja, pertanian dan operasi perindustrian lain.

Pengiktirafan tersebut mengukuhkan profil BFI dalam industri di peringkat antarabangsa serta membuktikan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan operasi, pengeluaran baja yang bertanggungjawab dan peningkatan berterusan dalam aspek keselamatan tempat kerja.

Turut hadir pada Persidangan IFS 2026 ialah Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dr. Harri Kiiski, yang bersama-sama penerima terdahulu Francis New Medal, iaitu Chris Dawson, Hans Reuvers dan Kish Shah, sekali gus menghimpunkan barisan pemimpin industri yang sumbangannya telah membantu membentuk perkembangan industri baja selama ini.

IFS menghimpunkan golongan profesional daripada sektor pengeluaran baja dan pemakanan tanaman. Persidangan tahunannya menyediakan platform kepada pakar industri, penyelidik dan pengamal untuk bertukar pengetahuan teknikal, pengalaman operasi serta amalan terbaik.