NBD hantar 3 pegawai ABDB sertai IDB VMAT 8/2026

7 Okt 2026 - 6:59am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Selasa, 6 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menghantar tiga pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) untuk berkhidmat sebagai ahli Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team 8/2026 (IDB VMAT 8/2026) di Mindanao, Republik Filipina.

Sehubungan itu, bendera NBD telah diserahkan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, kepada Ketua Delegasi IDB VMAT 8/2026, Komander Khairul Anwar bin Abdullah, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), di Bolkiah Garison, di sini, pada petang ini.

Turut hadir, Charge d'Affaires dari Kedutaan Besar Republik Filipina di NBD, Puan Bernadette A. Mendoza; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Pemangku Penolong Pengarah Setiausaha Kedua, Jabatan Asia Timur, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Atase Pertahanan Kedutaan Besar Republik Filipina ke NBD, serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.

Sejak 2019, ABDB secara konsisten telah menempatkan anggotanya ke IDB VMAT di Mindanao, Republik Filipina, bagi mendukung proses perdamaian Bangsamoro melalui  pelaksanaan pemantauan dan verifikasi terhadap proses pelucutan senjata serta penamatan penglibatan anggota dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Komitmen berterusan berkenaan menggariskan komitmen NBD terhadap usaha keamanan dan kestabilan serantau di samping terus mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala yang erat antara NBD dan Republik Filipina.