Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
MADANG, Selasa, 6 Oktober. - Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan - timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat bersempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bagi Tahun 2026.
Majlis berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.
Turut hadir bagi memberkati majlis ialah seramai 80 orang anak yatim berusia antara 13 hingga 18 tahun, yang terdiri daripada pelajar penerima bantuan di bawah Skim SER dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee, selaku Ketua Ahli Jawatankuasa Keagamaan bagi Kumpulan Isteri berkenaan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas dan bacaan Takhtim beramai-ramai oleh peserta khatam.
Seterusnya, bacaan Doa Khatam dan Dikir Marhaban beramai-ramai dipimpin oleh qariah Dayang Hajah Maidah binti Haji Abdul Rahman.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh isteri Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Noraini binti Haji Buntar.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Dayang Hajah Noraini, yang juga mengetuai bacaan Doa Khas Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha bagi Tahun 2026.
Acara diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, diikuti penyampaian Sijil Penghargaan dan Infaq Kasih kepada para peserta Khatam Al-Quran yang terdiri daripada anak-anak yatim serta pelajar terpilih penerima bantuan di bawah Skim SER.
Sijil Penghargaan dan cenderahati turut disampaikan kepada guru-guru pembimbing dan pengawas sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta sumbangan mereka dalam membimbing dan membantu menjayakan majlis berkenaan.
Penyampaian tersebut masing-masing disempurnakan oleh isteri Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, selaku Pengerusi I Kumpulan Isteri; dan isteri Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi II Kumpulan Isteri berkenaan.
Majlis berkenaan merupakan aktiviti tahunan kumpulan tersebut sebagai tanda kasih dan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bagi Tahun 2026.
Majlis turut diselajurkan dengan doa agar Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang afiat serta kebahagiaan yang berpanjangan.
Selain itu, majlis berkenaan juga dihasratkan dapat memberikan keberkatan kepada para peserta khatam melalui amalan pembacaan Al-Quran, di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli Kumpulan Isteri berkenaan.