BIBD terus mendukung pemerkasaan masyarakat, keterangkuman ekonomi

30 Jul 2026 - 9:27am

Siaran Akhbar dan Foto : Bank Islam Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 menerusi penyertaan dalam Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Brunei dan Muara.

Penyertaan BIBD menampilkan pelbagai inisiatif yang mencerminkan komitmennya dalam menyokong pembangunan negara melalui pemerkasaan masyarakat, pembangunan modal insan, keterangkuman ekonomi dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Delegasi BIBD diketuai oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, bersama ahli-ahli pengurusan kanan, pegawai dan kakitangan bank berkenaan.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Projek Teduh, sebuah program perumahan berasaskan komuniti yang dilancarkan pada Oktober 2025 bagi membantu keluarga yang memerlukan melalui pembinaan semula dan pembaikan kediaman. Dibiayai menerusi zakat perniagaan BIBD dan dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, projek tersebut bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa, malah memberi peluang kepada keluarga terbabit untuk membina semula kehidupan mereka dengan lebih bermaruah.

Turut dipamerkan ialah Projek SABIL, iaitu inisiatif kebajikan Ramadan hasil kerjasama BIBD bersama Jabatan Penjara dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Program berkenaan menyediakan platform kepada individu, organisasi dan rakan strategik untuk menyumbang melalui sedekah, infak dan amal kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah, anak yatim, mualaf, Orang Kelainan Upaya dan kumpulan yang memerlukan. Di samping itu, projek tersebut turut menggalakkan budaya kesukarelawanan dengan penglibatan kakitangan BIBD, belia daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi.

Dalam bidang pendidikan, BIBD menonjolkan program Tanggungjawab Sosial Korporat utamanya, BIBD Advocating Life-Long Learning for an Aspiring Future (ALAF), yang telah membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sejak tahun 2013. Program tersebut menyediakan bantuan kewangan, keperluan pendidikan, bimbingan dan pembangunan sahsiah bagi memastikan pelajar berpeluang melanjutkan pengajian serta mencapai kejayaan pada masa hadapan.

BIBD juga memperkenalkan sokongannya terhadap penyediaan kemudahan Smart Classroom di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Inisiatif itu menyediakan persekitaran pembelajaran interaktif berasaskan teknologi bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritis, kerjasama dan literasi digital.

Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara, BIBD terus menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi penyediaan pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan, perbankan digital serta kerjasama strategik termasuk bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB). Usaha tersebut bertujuan membantu usahawan memulakan, mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

BIBD turut mengetengahkan Projek Rumah Tenunan yang dilaksanakan bersama Jabatan Penjara bagi memperkasakan banduan wanita melalui pembangunan kemahiran dan penyertaan ekonomi. Program berkenaan memberi peluang kepada peserta mempelajari seni tenunan tradisional Brunei sebagai persediaan untuk kembali berdikari serta menyertai semula masyarakat selepas menjalani hukuman.

Selain itu, BIBD mempamerkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi Sustainability Framework dan Projek Alam Mampan. Dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan, NGO, rakan korporat dan komuniti tempatan, program tersebut memberi tumpuan kepada pemeliharaan ekosistem daratan dan marin, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar demi masa depan negara yang mampan.

Sempena sambutan bersejarah itu, BIBD menegaskan komitmennya untuk terus mendukung nilai-nilai keprihatinan, khidmat kepada masyarakat dan pembangunan negara melalui pelaburan berterusan dalam kebajikan komuniti, pendidikan, keusahawanan, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada pencapaian aspirasi Wawasan Brunei 2035.