BTP 2026 bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026

2 Og 2026 - 6:39am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), akan mengendalikan Banci Tahunan Perusahaan (BTP) 2026 bagi tahun rujukan 2025 mulai 1 Ogos hingga 30 September 2026.

BTP 2026 meliputi perniagaan dan syarikat yang aktif menjalankan kegiatan ekonomi di Negara Brunei Darussalam. Banci ini mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan, pekerjaan, pendapatan dan perbelanjaan perusahaan bagi menghasilkan statistik ekonomi negara yang komprehensif serta memberikan gambaran mengenai prestasi dan perkembangan sektor swasta, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini adalah penting bagi menyokong pemantauan, perancangan, penyelidikan dan penggubalan dasar berasaskan bukti berkaitan pembangunan ekonomi dan pertumbuhan perniagaan di negara ini. Hasil daripada banci juga akan membantu meningkatkan ketersediaan statistik berkaitan perusahaan serta memperkukuhkan pemahaman mengenai landskap ekonomi negara.

Borang tanya banci akan diedarkan kepada perniagaan dan syarikat melalui pos, e-mel serta lawatan ke premis oleh Pekerja Sementara Kerja Luar Banci yang dilantik. Borang tanya banci juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPES. Pekerja-pekerja luar berkenaan juga akan membantu dan memberikan tunjuk ajar bagi memastikan maklumat yang dikumpulkan adalah lengkap dan tepat jika diperlukan. 

JPES menyeru semua perniagaan dan syarikat untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengemukakan maklumat yang lengkap dan tepat dalam tempoh yang ditetapkan. Kerjasama yang diberikan adalah penting bagi memastikan statistik yang dihasilkan adalah berkualiti, tepat dan relevan untuk kegunaan perancangan serta pembangunan negara. Banci ini dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam yang mewajibkan penyediaan maklumat bagi tujuan perangkaan. Mana-mana individu yang gagal atau enggan memberikan maklumat yang dikehendaki, dengan sengaja memberikan maklumat yang palsu atau enggan mematuhi keperluan banci boleh dikenakan denda tidak melebihi BND4,000.

JPES ingin memberi jaminan kepada semua perniagaan dan syarikat yang terlibat bahawa segala maklumat yang dikumpulkan semasa banci ini akan disimpan sulit dan hanya akan digunakan bagi keperluan perangkaan. Selaras dengan peruntukan Akta Perangkaan, Penggal 81 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam, maklumat individu syarikat atau perniagaan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak, dan hanya statistik dalam bentuk agregat akan diterbitkan.

Tarikh tutup untuk mengembalikan borang tanya yang telah diisikan dengan lengkap ke JPES ialah pada 30 September 2026.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BTP 2026 bolehlah dirujuk ke JPES melalui talian Hotline: +673 8230275 / +673 8320275 / +673 8260276; e-mel: ‘economic.census@jpes.gov.bn’; dan layari laman sesawang: ‘https://www.deps.gov.bn’.