Bumi Permata Hijau saksikan jalinan kasih, keakraban raja dengan rakyat

5 Og 2026 - 9:30am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Selasa, 4 Ogos. - Bumi Permata Hijau menjadi saksi kukuhnya jalinan kasih, kesetiaan dan keakraban antara raja dan rakyat, apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, bagi Daerah Temburong yang merupakan daerah terakhir bagi acara berkenaan pada tahun ini.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja ke Daerah Temburong bukan sekadar menyemarakkan suasana Sambutan Hari Keputeraan baginda, malah mencerminkan kesinambungan tradisi beraja yang sentiasa menjadi jambatan penghubung antara raja dengan rakyat.

Tradisi yang sudah lama dipraktikkan dan berakar umbi dalam kehidupan masyarakat kita itu terus menyatukan hati, mempertautkan silaturahim serta memperkukuh semangat taat setia dan kebersamaan dalam sebuah negara yang aman dan juga sejahtera.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja di Helipad, Pekan Bangar dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80, Tahun 2026; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad;  Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin; Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja selanjutnya dijunjung berangkat ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong sebelum meneruskan keberangkatan ke Pentas Diraja di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar.

Menuju ke Pentas Diraja, keberangkatan tiba Kebawah DYMM dan dan kerabat diraja disambut penuh meriah dengan kibaran bendera-bendera kecil oleh kira-kira 800 pelajar sekolah, diserikan pula dengan hiasan bunga manggar dan juga paluan  hadrah yang membangkitkan semangat serta keceriaan suasana.

Sejurus keberangkatan tiba di Pentas Diraja di sini, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dipersembahkan dengan iringan Pancaragam PPDB. Dalam menghidupkanlagi kemeriahan acara, Persembahan Khas bertemakan 'Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara' dipersembahkan dengan penglibatan lebih 400 peserta.

Persembahan yang mengetengahkan nilai warisan, kecintaan kepada raja dan semangat kenegaraan berkenaan disusun dalam beberapa segmen yang cukup bermakna, iaitu bermula dengan tarian pembukaan,diikuti persembahan tarian tradisional puak-puak Daerah Temburong, tarian bertemakan 'Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara', sebelum diakhiri dengan Grand Finale, iaitu tarian 'Raja dan Rakyat Sejiwa, Negara Sejahtera'.

Setiap gerak tari dan persembahan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi wadah menzahirkan identiti, warisan budaya serta kecintaan rakyat kepada raja dan negara. Dan tidak lupa dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' sebagai menzahirkan lafaz doa buat raja yang dicintai.

Selesai persembahan, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan berangkat ke Pentas Persembahan Khas bagi sesi bergambar ramai bersama para peserta sekali gus menerima junjung ziarah.

Detik berkenaan menjadi antara momen istimewa yang merakamkan kesatuan hati dan hubungan mesra antara raja dengan rakyat, khususnya generasi muda yang turut menjadi pewaris masa depan negara.

Dan kemuncak acara yang dinanti-nantikan ialah Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong dan dianggarkan sekitar 8,000 rakyat dan penduduk Daerah Temburong hadir memenuhi ruang acara bagi menjunjung ziarah, bersua muka dan beramah mesra bersama Kebawah DYMM serta kerabat diraja.

Sudah setentunya acara diserikan dengan reruai-reruai yang tidak ketinggalan menyertai majlis kali ini antaranya daripada Majlis Perundingan Mukim Zon 1 dan 2 dengan mempamerkan produk-produk penduduk kampung yang dihasilkan dan juga potret-potret Kebawah DYMM.

Tidak ketinggalan juga dari Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) yang menampilkan persembahan adat tradisi  perkahwinan, persembahan bamboo band, gulintangan irama Kubang Beranut (gendang beranyut) di samping tarian Alai Ngapu Lun Rayeh.

Selain itu, Kedai Kampung Daerah Temburong turut mempamerkan produk atau perusahaan yang dikendalikan  oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Selangan, Parit dan Biang Menengah dengan mengetengahkan pelbagai jualan seperti makanan kering, gubahan bunga dan buah-buahan dan sayur-sayuran serta pelbagai macam lagi.

Manakala reruai penghulu mukim dan ketua-ketua kampung pula memperkenalkan sebanyak 80 jenis hidangan masakan udang galah dari kampung di daerah Temburong.

Sementara reruai Jabatan Perikanan pula menghebahkan mengenai pengurusan perikanan bagi kemampuan industri (udang bekara dan ketam) dan pengawalan, penangkapan dan pengimportan udang bekara dan ketam selain Program Memperkaya Sumber Perikanan dan Aktiviti Kaunter Pelesenan Bergerak yang kendalikan oleh pihak mereka.

Manakala Radio Televesyen Brunei (RTB) menerusi Unit Majalah Rampai Pagi pula mempersembahkan Potret Gemilang 80 dengan pakej program 'Edisi Khas' bertajuk 'Di Hati Rakyat Selamanya', iaitu edisi khas kali ini sekali lagi menampilkan seorang penggiat seni tempatan dari Daerah Temburong, Awang Muhammad Miqdam bin Zaini dengan karyanya menghasilkan Potret Gemilang 80 dengan seni kreativitinya menggunakan ciptaan daripada ribuan manik disusun menjadi lukisan yang memukau, dan batu-batu dari alam semula jadi Daerah Temburong. Pencarian batu berkenaan diperoleh dari lima buah mukim dan diolah menjadi rangka frame karya seni yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Tradisi menghasilkan seni menggunakan batu turut mempunyai kaitan dengan usaha pemeliharaan identiti budaya masyarakat di Temburong.

Selain penyertaan persatuan-persatuan Daerah Temburong, turut menyerikan acara ialah daripada pasukan beruniform dan pertubuhan beruniform antaranya Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Persatuan Veteran ABDB (PERWIRA), Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Persatuan PERTIWI dan juga Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei serta Pasukan Kadet Tentera ABDB.

Penyertaan reruai yang lain juga termasuk daripada Gabungan Komuniti Keugamaan Daerah Temburong, Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong dan Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Persatuan Masyarakat Iban Temburong juga tidak ketinggalan mempamerkan pakaian tradisi yang digunakan oleh masyarakat Iban.

Agensi lain juga seperti Kristal Media Sdn. Bhd. mempamerkan Kristal On-The-Go, Anthony Tours and Travel Agency Sdn. Bhd. dan juga Freme Rainforest Lodge and Adventure Park yang melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya program ke arah mempertingkatkan lagi kemajuan dan perkembangan di bumi Permata Hijau berkenaan.

Kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berkenaan jelas memperlihatkan semangat kecintaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap raja, sekali gus menjadi manifestasi eratnya hubungan antara institusi beraja dengan rakyat jelata yang terus dipelihara dari generasi ke generasi.

Bagi rakyat dan penduduk Daerah Temburong, kesempatan bersua muka dan menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan kerabat diraja pastinya menjadi pengalaman yang amat bermakna dan sangat menjunjung tinggi atas keramahan dan kemurahan hati baginda berkenan berangkat bertemu secara langsung bersama rakyat dan penduduk di sini.

Setelah selesai sesi bersua muka dan ramah mesra, Kebawah DYMM dan kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Bilik Khas untuk beristirahat sebelum meneruskan keberangkatan ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar bagi Majlis Santap.

Pada Majlis Santap berkenaan, Kebawah DYMM berkenan disembahkenalkan dengan empat individu yang mencapai kecemerlangan daripada pelbagai sektor, iaitu Pengurus Kedai Kampung dan Pemangku Ketua Kampung Selangan, Parit dan Biang Menengah, Awang Dulamit bin Burot; Ketua Pegawai Eksekutif GenQu Company (dahulunya dikenali sebagai Al-Huffaz Management), Awang Haji Mohammad Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan; Pengurus De'patoi Restaurant & Bundayana Contractor Sdn. Bhd., Dayang Nuratikah binti Zaini/Zani; dan Jurulatih Sukan, Sekolah Sukan, Awang Aminuddin bin Jumat.

Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pemangku Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Temburong, Awang Abdul Hadi bin Ali.

Pada Majlis Santap berkenaan, Kebawah DYMM juga berkenan memotong kek sebagai sebahagian daripada acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang Ke-80. Selesai Majlis Santap, baginda dan kerabat diraja berkenan berangkat meninggalkan majlis.

Turut berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri dan Manteri-manteri Pedalaman serta Setiausaha - setiausaha Tetap dan Timbalan - timbalan Setiausaha Tetap.

Keberangkatan raja yang prihatin lagi pemedulian ke Daerah Temburong hari ini meninggalkan makna yang cukup besar, bukan sahaja dalam menyemarakkan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan baginda, tetapi juga dalam memperteguh ikatan raja dan rakyat yang sekian lama menjadi tunjang keharmonian negara.

Sifat baginda yang begitu prihatin dan pemedulian berkenaan jelas dapat dilihat apabila masyarakat yang hadir di majlis berkenaan rasa bersyukur kerana mereka disajikan dengan jamuan tanpa mengira bangsa dan agama.

'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik'.