Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Selasa, 4 Ogos. - Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (Digital Future Conference and Exhibition - DFCE) 2026 anjuran Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) membuka tirainya hari ini dengan Majlis Perasmian yang berlangsung di Munawwarah Hall, Setia Point, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan majlis perasmian berkenaan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, merangkap Pengerusi AITI.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Ahli-ahli AITI; Ketua Eksekutif AITI; pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta wakil daripada pelbagai industri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar, diikuti ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif AITI, Awang Haji Jailani bin Haji Buntar.
Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyampaikan ucaptama bertajuk 'Transformasi Digital di Brunei : Merealisasikan Dasar kepada Impak'.
Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan bertajuk 'AI at Scale : Turning National Ambition into Real-World Impact' yang disampaikan oleh Pengarah Access Partnership Institute merangkap Pengarah Emeritus Asia Cloud Computing Association, Lim May-Ann.
Pembentangan berkenaan mengongsikan bagaimana strategi Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat kebangsaan boleh diterjemahkan kepada aplikasi praktikal yang mampu memberi nilai tambah kepada sektor kerajaan, perniagaan dan masyarakat.
Seterusnya, Pengarah Jualan dan Pemasaran Les' Copaque Production, Karyabudi bin Mohamed Aris pula berkongsi pengalaman syarikat berkenaan dalam membangunkan francais kandungan digital bertaraf antarabangsa menerusi siri animasi terkenal 'Upin & Ipin', dengan memanfaatkan kreativiti tempatan serta perlindungan harta intelek yang kukuh.
Turut menyampaikan pembentangan ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif LocalHost, Kei Hayashi, yang juga merupakan pengasas muda sebuah program persekutuan global bagi menyokong pembangunan belia berbakat dari seluruh dunia. Beliau mengetengahkan kepentingan pelaburan dalam pembangunan modal insan, idea dan komuniti sebagai pemangkin kepada inovasi yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Sesi pembentangan diakhiri dengan forum bertajuk 'From Digital Ambition to Digital Adoption : Perspectives' yang menampilkan Lim May-Ann, Karyabudi, Kei Hayashi serta Naib Presiden Inovasi Unified National Networks (UNN), Woo Chang Huei, manakala forum dikendalikan oleh Pengarah Urusan Confer Sdn. Bhd., Allen Lai.
Sejurus selepas forum berkenaan, tetamu kehormat majlis mengadakan lawatan ke Pameran DFCE 2026 yang menghimpunkan 20 pempamer daripada agensi kerajaan dan sektor swasta yang mempamerkan pelbagai penyelesaian serta inisiatif digital.
Antara yang mengambil bahagian ialah EVYD Technologies; UNN; Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST); Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC); Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB); Brunei Innovation Lab; DST Managed Services (DMS); Progresif; Imagine Sdn. Bhd.; Huawei Technologies (B) Sdn. Bhd.; Innov8 Labs Sdn. Bhd.; Comquest Sdn. Bhd.; BruGameDev; Poni Group / Astari; Study Smartable Learning Centre; TechBru Solutions; DMOS Technologies Sdn. Bhd.; Tekydoct Sdn. Bhd. dan BIPO Services.
Pameran berkenaan dibukakan kepada orang ramai bermula 4 hingga 6 Ogos 2026.
Berlangsung selama tiga hari berkenaan, DFCE 2026 mengangkat tema 'Bersama Ke Arah Brunei Digital : Berinovasi, Memperkasa, Mentransformasikan' (Together Towards a Digital Brunei : Innovate, Empower, Transform).
Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin kerajaan, badan pengawal selia, pemain industri, ahli akademik serta penyedia teknologi bagi membincangkan enam bidang utama, iaitu Kecerdasan Buatan (AI), teknologi baharu muncul, perlindungan data peribadi, keselamatan dalam talian, kandungan digital dan pembangunan kemahiran digital yang bersedia menghadapi masa depan.
Persidangan hari pertama dan kedua memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital masa hadapan melalui penerokaan teknologi baharu, inovasi digital serta aplikasi praktikal, manakala hari ketiga pula memfokuskan kepada pembangunan kemahiran digital yang diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan melalui kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
Lebih 400 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil industri, penyedia teknologi, ahli akademik serta orang ramai menghadiri persidangan berkenaan.
Sepanjang penganjuran DFCE 2026, beberapa bengkel turut diadakan secara serentak bagi memberi peluang kepada peserta mengikuti latihan praktikal dalam bidang AI, produktiviti digital, keselamatan dalam talian serta penglibatan digital.
Pada hari pertama, dua bengkel praktikal di bawah inisiatif BruNAI (Brunei National Artificial Intelligence) diadakan, iaitu AI Low-Code Sprint yang dikendalikan oleh Scientia Labs Sdn. Bhd. serta bengkel AI Productivity for Clerical and Administrative Professionals yang dikendalikan oleh Type Right Management & Services.
Manakala hari kedua akan menyaksikan penganjuran Persidangan ASEAN mengenai Keselamatan Dalam Talian secara tertutup, sementara hari ketiga diakhiri dengan Bengkel Penglibatan Digital dan Keselamatan Dalam Talian yang dianjurkan dengan kerjasama Meta dan TikTok.
Seiring dengan usaha berterusan NBD mempercepatkan transformasi digital negara, DFCE 2026 berperanan sebagai platform strategik yang menghimpunkan penggubal dasar, badan pengawal selia, pemimpin industri, pakar teknologi serta wakil masyarakat bagi mengadakan dialog yang bermakna, pembentangan berinformasi, perbincangan yang diterajui pakar dan kerjasama strategik dalam membentuk masa depan digital negara.
Bagi maklumat lanjut, layari laman sesawang https://aiti.gov.bn/digitalfutureconfex.