Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 21 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini berkenan berangkat memulakan Lawatan Pengenalan selama tiga hari ke Republik Singapura dari 21 hingga 23 Oktober 2026.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Duli Yang Teramat Mulia memulakan atur cara pada hari ini dengan berkenan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar dan Menteri yang bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu, di The Treasury.
DYTM juga berkenan berangkat menghadiri Business Roundtable yang disertai oleh wakil-wakil dari Enterprise Singapore dan syarikat-syarikat tempatan untuk bertukar pandangan mengenai amalan-amalan terbaik dalam bidang perniagaan, serta meneroka peluang untuk mengeratkan lagi kerjasama perdagangan di antara NBD dan Republik Singapura.
Sementara itu, dalam program berasingan, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan mengadakan lawatan ke Enabling Village di Lengkok Bahru. Lawatan berkenaan memberi peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pendekatan dan komitmen Republik Singapura dalam menggalakkan keterangkuman serta kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU).
DYTM dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri seterusnya berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Menteri Kanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong dan isteri, Madam Ho Ching, di Restaurant Fiz.
Pada Majlis Santap berkenaan, DYTM dan Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong menyambut baik jalinan persahabatan yang erat dan kerjasama yang sangat baik di antara NBD dan Republik Singapura.
TYT Lee Hsien Loong kali terakhir mengadakan lawatan ke NBD adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 pada Julai tahun ini.