NBD-Republik Singapura kekalkan hubungan berteraskan kepercayaan, saling menghormati

22 Okt 2026 - 7:06am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 21 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) pada sebelah petang hari ini, berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dengan Menteri Penyelaras Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing, di SPH Media sempena Lawatan Pengenalan selama tiga hari ke Republik Singapura dari 21 hingga 23 Oktober 2026.

Kedua-dua belah pihak menekankan hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin, di mana ulang tahun ke-50 telah diraikan pada tahun ini.

Semasa perjumpaan berkenaan, kedua-dua belah pihak juga mengadakan perbincangan mengenai hubungan kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen seterusnya berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Republik Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo, di Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan.

DYTM juga disembahkan taklimat oleh National AI Group dan Digital Economy Office mengenai dasar dan pendekatan Republik Singapura dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) ke arah memperkasa ekonomi digital.

Perjumpaan-perjumpaan berkenaan menegaskan semula hubungan istimewa dan unik di antara NBD dan Republik Singapura yang berlandaskan kepercayaan, saling hormat menghormati dan kesefahaman yang sangat baik.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1 Januari 1984, hubungan kerjasama dua hala terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan aktif dan kerjasama yang memberikan manfaat bersama.

Lawatan DYTM memberi peluang untuk memajukan lagi kerjasama di dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.