Berita dan Foto oleh : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Selasa, 6 Oktober. – Peri mustahaknya setiap individu berkenaan mempersiapkan minda agar sentiasa bersikap positif dalam apa sahaja amanah tugasan dan tanggungjawab yang diberikan. Dalam meniti cabaran khususnya kepada para pencari pekerjaan jangan sesekali berputus asa dan sentiasa menyemai semangat juang untuk meningkatkan jati diri serta yakinlah rezeki ada di mana-mana.
Itulah antara yang dikongsikan oleh Guru Tingkat II, Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II, Daerah Tutong, Awang Mohammad Zool Fadli bin Haji Mahbub semasa menyampaikan perkongsian mengenai pengalaman sebagai seorang pendidik kepada para pencari pekerjaan yang hadir di bawah sesi 'Career 360' yang merupakan salah satu pengisian menarik di Jelajah Kerjaya 2026 bagi siri jelajah di Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Utama dan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, pagi tadi.
Beliau yang merupakan salah seorang penceramah (speaker) jemputan di acara berkenaan antaranya turut meluahkan kata-kata semangat bahawa sepanjang 18 tahun menjadi seorang pendidik sememangnya pastinya bersulam pahit dan manis namun detik-detik itulah yang merupakan salah satu penyuntik semangat dirinya untuk lebih berjaya dalam bidang pendidikan.
Sehubungan itu, Jelajah Kerjaya 2026 anjuran Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi siri jelajah di Daerah Tutong telah membuka tirainya hari ini sehingga 7 Oktober 2026 yang dibukakan kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jelajah Kerjaya 2026 yang dilaksanakan buat kali ketiga berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 106 pempamer, terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta dengan menawarkan lebih 1,445 peluang pekerjaan kepada pencari kerja tempatan merangkumi pelbagai sektor, antaranya perdagangan, hospitaliti, insurans, pendidikan, teknologi, pengangkutan dan sektor-sektor lain.
Selain peluang pekerjaan, Jelajah Kerjaya 2026 turut membuka ruang kepada orang ramai untuk meneroka laluan kerjaya alternatif, termasuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan secara lebih fleksibel serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi gig (gig economy) di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Jelajah Kerjaya bukan sahaja merupakan landasan bagi pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan, malah turut menjadi landasan yang menghimpunkan pencari kerja, majikan dan pihak-pihak berkepentingan utama dalam ekosistem kerjaya yang lebih luas.
Sepanjang Jelajah Kerjaya 2026, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan berkaitan kerjaya turut disediakan untuk membantu pencari kerja membuat persediaan, meneroka peluang dan berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan.
Antaranya termasuklah pendaftaran akaun PPB dan pengaktifan akaun e-Darussalam, Konsultasi Curriculum Vitae (CV) dan persediaan temu duga, pameran dan sesi interaksi bersama syarikat-syarikat, temu duga terbuka, taklimat dan sesi perkongsian bersama pakar industri, Career 360, Career Discovery Hub, Bengkel Bahasa Isyarat, Safe Space oleh Kementerian Kesihatan, pertandingan dan aktiviti interaktif dan perkhidmatan serta aktiviti lain yang berkaitan dengan pembangunan kerjaya.
Dalam pada itu, para pencari kerja adalah dialu-alukan untuk menghadiri Jelajah Kerjaya 2026 dan disarankan membawa salinan fizikal dan digital CV terkini, berserta dokumen-dokumen berkaitan, bagi memudahkan proses permohonan dan temu duga.
Pencari kerja juga digalakkan untuk mengambil peluang menghadiri temu duga terbuka yang dikendalikan secara langsung oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, selain berpeluang menghantar CV secara digital kepada bakal majikan.
Oleh yang demikian, Jelajah Kerjaya 2026 berkenaan nanti akan diteruskan di Daerah Temburong selama satu hari pada 10 Oktober 2026 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar. Sementara itu, kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 akan berlangsung di Daerah Brunei dan Muara (DBM) selama empat hari, dari 15 hingga 18 Oktober 2026, di Dewan 1 dan Dewan 2, BRIDEX, Jerudong.
Kesemua acara akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada Jumaat, acara akan ditutup sementara dari pukul 11.30 pagi hingga 2.00 petang. Bagi Jelajah Kerjaya 2026 di DBM, perkhidmatan fotokopi berbayar turut disediakan bagi kemudahan para pencari kerja.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jelajah Kerjaya 2026 bolehlah menghubungi PPB melalui WhatsApp di +673 7291785 atau +673 8239933 atau mengikuti akaun Instagram ‘@jobcentrebrunei’ untuk mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini. Manakala Buku Panduan Jelajah Kerjaya 2026 juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang ‘www.jobcentrebrunei.gov.bn’.