Kadar PSI secara eksklusif di NBD menurun

5 Og 2026 - 8:21am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. - Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan setiap tahun pada 1 hingga 7 Ogos. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Penyusuan Susu Ibu Demi Permulaan Kehidupan Yang Mampan : Memperkukuh Amalan Yang Berkesan' (Breastfeeding for a Sustainable Start in Life: Strengthen What Works).

Tema berkenaan menyeru kita untuk bersama memperkukuh usaha yang telah terbukti berkesan dalam melindungi, mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu. Susu ibu merupakan sumber pemakanan terbaik untuk anak damit kerana ia mengandungi nutrien lengkap serta antibodi yang melindungi daripada pelbagai jangkitan penyakit, mengurangkan masalah cirit-birit dan membantu mencegah karies gigi.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 yang diraikan pada 1 hingga 7 Ogos 2026.

Jelas Yang Berhormat lagi, Penyusuan Susu Ibu (PSI) memberi manfaat kesihatan jangka panjang kepada ibu dan anak, termasuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, penyakit jantung, beberapa jenis kanser dan obesiti serta sekali gus menjadi satu pelaburan penting dalam melahirkan generasi yang lebih sihat dan menyokong pembangunan negara yang mampan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tambah Yang Berhormat, mengesyorkan agar PSI dimulakan dalam tempoh satu jam sejurus selepas kelahiran dan seterusnya disarankan untuk menyusukan anak damit secara eksklusif (sama ada secara langsung atau yang diperah) selama enam bulan pertama kehidupan anak damit, tanpa memberikan sebarang makanan atau minuman lain termasuk air.

Pengecualian kata Yang Berhormat lagi, hanya diberikan kepada larutan rehidrasi oral (ORS), titisan atau sirap vitamin, mineral serta ubat-ubatan yang diperlukan. Selepas anak damit berusia enam bulan, makanan pelengkap (complementary feeding) disarankan untuk diperkenalkan di samping meneruskan PSI sehingga anak damit berusia dua tahun atau lebih.

"Walaupun amalan PSI merupakan amalan yang disyorkan dan memberi pelbagai manfaat kepada ibu dan anak damit, mengekalkannya sehingga enam bulan masih menjadi satu cabaran bagi ramai ibu.

"Di Negara Brunei Darussalam (NBD), pada tahun 2025, kadar PSI secara eksklusif adalah menurun, iaitu sebanyak 49 peratus ketika anak damit berusia satu bulan, 41 peratus pada usia anak damit tiga bulan dan 35 peratus pada usia enam bulan.

"Kadar PSI secara eksklusif ketika anak damit berusia enam bulan sebanyak 35 peratus ini adalah jauh rendah dari sasaran yang ditetapkan oleh WHO, iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus.

"Kadar ini menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, di mana kadar tertinggi bagi anak damit yang berusia enam bulan yang pernah direkodkan adalah sekitar 47 peratus pada tahun 2019," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan di samping itu, hasil kaji selidik yang dilaksanakan pada 2025 menunjukkan bahawa ramai ibu di NBD masih menghadapi pelbagai cabaran untuk mengamalkan PSI secara eksklusif.

Tambah Yang Berhormat lagi, faktor yang kerap dilaporkan sebagai sebab memperkenalkan susu formula sebelum anak damit mencapai umur enam bulan adalah tanggapan bahawa bekalan susu tidak mencukupi (perceived low milk supply). Faktor lain termasuk masalah penyusuan seperti bengkak, luka atau rasa sakit pada buah dada, kekurangan sokongan di tempat kerja dan daripada pasangan serta ahli keluarga.

Yang Berhormat turut mengongsikan PSI merupakan salah satu intervensi utama yang diiktiraf oleh WHO dan Kementerian Kesihatan untuk mencegah serta mengurangkan beban berganda masalah pemakanan (double burden of malnutrition). Oleh itu, situasi penurunan kadar PSI secara eksklusif amat membimbangkan kerana NBD kini bukan sahaja berhadapan dengan cabaran peningkatan kadar obesiti dalam kalangan remaja dan orang dewasa, tetapi juga berhadapan dengan risiko masalah pertumbuhan terbantut (stunting) dalam kalangan kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah.

Selama lebih empat dekad kata Yang Berhormat lagi, NBD terus komited dalam memperkukuh amalan PSI melalui pelbagai dasar, program dan inisiatif. Antaranya termasuk pelaksanaan Baby-Friendly Hospital Initiative (BFHI) di fasiliti-fasiliti kesihatan, pelanjutan tempoh cuti bersalin dari 56 hari ke 105 hari pada 2011, penerbitan pelbagai garis panduan berkaitan dengan pemakanan anak damit dan kanak kanak kecil, Sambutan Minggu PSI Sedunia setiap tahun, serta pelaksanaan kempen pendidikan dan kesedaran bagi menggalakkan amalan PSI dalam kalangan masyarakat.

Walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai bagi mempromosi PSI secara eksklusif jelas Yang Berhormat, masih terdapat beberapa jurang (gaps) dan cabaran dalam aspek perkhidmatan kesihatan, dasar serta persekitaran yang melindungi, mempromosi dan menyokong amalan PSI.

"Bagi menangani perkara ini, Kementerian Kesihatan kini bekerjasama dengan pelbagai agensi berkepentingan untuk merangka National Maternal, Infant and Young Child Nutrition Strategy 2026-2035, yang akan dijadikan sebagai hala tuju strategik negara dalam meningkatkan kadar PSI secara eksklusif di NBD.

"Akhir kata, marilah kita sama-sama menyokong dan membina persekitaran yang mesra agar para ibu boleh mengamalkan PSI dengan selesa. Dengan kerjasama dan sokongan yang kuat dari seluruh masyarakat, kita dapat menjana perubahan yang bermakna dalam melahirkan generasi yang lebih sihat, berdaya tahan dan menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.