KBM bantu individu berhenti menggunakan produk nikotin

6 Og 2026 - 5:40am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Seramai 75 klien berjaya berhenti merokok bagi tempoh 2023 hingga 2025, selepas mengikuti program Klinik Berhenti Merokok (KBM).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara tersebut semasa menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai keberkesanan KBM sebagai intervensi membantu individu menghentikan penggunaan produk nikotin serta usaha memperkukuh dasar pencegahan, khususnya dalam kalangan remaja dan belia pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Yang Berhormat seterusnya berkata, kadar kejayaan tahunan ini adalah antara 7.9 peratus hingga 14.0 peratus, selaras dengan dapatan antarabangsa yang menunjukkan bahawa berhenti merokok merupakan satu proses yang mencabar dan memerlukan sokongan berterusan. 

Walau bagaimanapun kata Yang Berhormat, beberapa klinik juga turut menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, termasuk Pusat Kesihatan Seria yang mencatat kadar kejayaan melebihi 45 peratus.

Yang Berhormat menyatakan, pendekatan yang dilaksanakan oleh KBM ini adalah selaras dengan Garis Panduan Rawatan Klinikal Berhenti Merokok Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan gabungan kaunseling dan farmakoterapi sebagai intervensi yang paling berkesan untuk membantu individu berhenti menggunakan produk nikotin.

KBM jelas Yang Berhormat lagi, adalah merupakan antara intervensi utama Kementerian Kesihatan dalam membantu individu untuk berhenti menggunakan produk tembakau atau nikotin melalui pendekatan yang menyeluruh merangkumi kaunseling berstruktur; pemantauan susulan secara berkala; dan rawatan farmakoterapi mengikut keperluan individu.

Perkhidmatan ini ujar Yang Berhormat lagi disediakan di semua pusat kesihatan di seluruh negara termasuk di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong; dan dikendalikan oleh Kaunselor Berhenti Merokok yang bertauliah.

Dalam hal ini tambah Yang Berhormat, antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah memastikan individu yang terbabit terus bermotivasi dan menghadiri sesi-sesi susulan sepanjang proses berhenti merokok memandangkan ketagihan nikotin mempunyai kadar relaps yang tinggi.

Di samping itu tegas Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan turut melihat keperluan untuk meningkatkan pengesanan awal; memperkukuh sistem rujukan ke KBM; dan menggalakkan lebih ramai penyertaan klien baharu, khususnya di kawasan yang masih mencatat penggunaan perkhidmatan yang rendah.

Walau bagaimanapun kata Yang Berhormat lagi, kadar kehadiran susulan yang melebihi 70 peratus pada 2025 dan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 menunjukkan bahawa majoriti peserta terus komited mendapatkan sokongan sepanjang program.  

Menurut Yang Berhormat lagi, penilaian data dan penambahbaikan dasar ini menunjukkan bahawa data daripada KBM dinilai secara berterusan bagi mengenal pasti corak penggunaan perkhidmatan; meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan berhenti merokok; mengenal pasti kawasan yang memerlukan pengukuhan promosi dan rujukan; serta menambah baik perancangan perkhidmatan, latihan kaunselor dan pengagihan sumber secara lebih bersasar.

Pendekatan berasaskan data ini kata Yang Berhormat, membolehkan Kementerian Kesihatan memperkukuh lagi dasar dan intervensi pencegahan supaya lebih responsif kepada keperluan kumpulan sasaran.

Dari itu, Yang Berhormat mengongsikan bagi memperkukuh usaha pencegahan dalam kalangan remaja dan belia pula, Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan terus melaksanakan sesi-sesi taklimat di sekolah mengenai bahaya merokok dan penggunaan ‘vape’ serta peruntukan di bawah Perintah Tembakau yang berkuat kuasa.

"Selain penguatkuasaan, pendekatan intervensi awal turut dilaksanakan. Murid-murid yang didapati merokok atau menggunakan ‘vape’ akan diberikan nasihat serta dirujuk ke KBM bagi mendapatkan sokongan profesional untuk menghentikan penggunaan produk nikotin.

"Pendekatan ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk mengubah tingkah laku lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko ketagihan nikotin dan penyakit berkaitan tembakau pada masa hadapan," ujar Yang Berhormat lagi. 

Sehubungan itu Yang Berhormat menegaskan, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh KBM sebagai salah satu intervensi penting dalam strategi kawalan tembakau negara melalui pendekatan yang berasaskan bukti, pengesanan awal, pendidikan kesihatan dan kerjasama pelbagai pihak.

Matlamat kita ujar Yang Berhormat lagi, bukan sahaja membantu lebih ramai individu berhenti menggunakan produk nikotin, malah membentuk generasi yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan tembakau serta ‘vape’, selaras dengan aspirasi negara ke arah masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.