Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan YSHHB

22 Okt 2026 - 6:21am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, hari ini, pihak YSHHB turut menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah BND4,200 bagi membantu membaik pulih (pembinaan struktur tiang konkrit baharu) dewan Balai Ibadat Mukim Saba, susulan kerosakan pada tiang sedia ada yang menimbulkan risiko keselamatan kepada para jemaah.

Sumbangan bertujuan untuk membantu memperkukuh struktur bangunan bagi memastikan balai ibadat berkenaan terus dapat digunakan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa untuk keperluan para jemaah serta masyarakat setempat.

Sumbangan diterima oleh Imam Balai Ibadat Mukim Saba, Awang Sahrin bin Matnor.

Di samping itu, antara tujuan penubuhan YSHHB dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat adalah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk tempat tinggal yang sempurna dan selamat.

Dalam pada itu, YSHHB turut menyampaikan bantuan bagi tujuan membaik pulih rumah Pengiran Mohd. Saiffol Noorfaissal bin Pengiran Md. Salleh di Kampung Setia ‘A’ berjumlah BND24,611.

Dalam bidang pendidikan pula, YSHHB turut menyalurkan sumbangan berjumlah BND38,100 kepada tiga orang penuntut bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat tinggi iaitu, Awang Muhammad Abdul Qaiyum bin Haji Rabaee; Dayang Nursya’adatul Sya’afiiah binti Haji Ramili; dan Dayang Mas Zuryani binti Muhammad Ruzaini Tang.

Bantuan berbentuk elaun sara hidup bulanan ini dikhususkan kepada penuntut persendirian yang berkelayakan dan tidak menerima pembiayaan atau biasiswa daripada kerajaan, pihak swasta atau badan-badan lain, bagi pengajian di universiti dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan di dalam negara.

Selaras dengan dasar penubuhannya, YSHHB terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya, di mana YSHHB telah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND33,050 kepada lapan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di seluruh negara.

Sumbangan ini dihasratkan dapat meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian.

Mereka yang terlibat ialah, Awang Harun bin Ibrahim, Kampung Panchor Dulit; Awang Haji Matzain bin Haji Menudin, Kampung Sinarubai; Awang Zufri bin Mohd. Jair, Kampung Lurong Dalam; Awang Junadi bin Haji Jaluddin, Kampung Pengkalan Mau; Awang Muhammad Kamarularifin bin Haji Mohd. Salleh, Kampung Burong Pingai Ayer; Pengiran Hajah Patimah binti Pengiran Haji Tengah, Kampung Delima Satu; Dayang Hajah Hajijah binti Haji Abdul Hamid, Kampung Rataie; dan Dayang Sarimah binti Musa, Kampung Piasau-Piasau.

Kesemua sumbangan ini disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.