Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kemajuan Wawasan Brunei 2035 wajar dipaparkan melalui platform awam yang mudah diakses dan dikemas kini secara berkala dengan memuatkan sasaran, garis masa, tahap kemajuan, pihak yang bertanggungjawab serta langkah pembetulan apabila pelaksanaannya ketinggalan.
Platform berkenaan juga perlu menjelaskan bagaimana kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat boleh memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengemukakan cadangan tersebut semasa perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Majlis Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat berkata, penerbitan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan garis masa akan membantu mengenal pasti kelewatan lebih awal.
Manakala ketelusan bukan bertujuan mencari kesalahan tetapi memperkukuh akauntabiliti, mengekalkan momentum dan membina keyakinan orang ramai. “Kaola baru-baru ini diperkenalkan kepada Pentahelix Approach oleh pihak Universiti Brunei Darussalam. Pendekatan ini menghimpunkan kerajaan, akademia, industri, masyarakat dan media.
“Kerajaan memberikan hala tuju; akademia menyumbangkan bukti; industri membawa kepakaran pelaksanaan; masyarakat berkongsi pengalaman sebenar dan media meningkatkan kesedaran serta akauntabiliti.
“Kekuatannya ialah memastikan semua pihak terus terlibat daripada memahami masalah sehingga mencapai hasil. Oleh itu, kaola menggalakkan kementerian-kementerian mempertimbangkan pendekatan ini bagi inisiatif yang memerlukan kerjasama merentas sektor,” jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, pelantikan Menteri-menteri Penyelaras adalah bertepatan pada masanya kerana dapat memastikan setiap inisiatif rentas kementerian mempunyai peneraju yang jelas, di samping membolehkan isu pertindihan atau kelewatan ditangani dengan lebih berkesan agar semua agensi bergerak sehaluan.
Tambah Yang Berhormat, keutamaan seterusnya ialah merapatkan jurang antara hasrat dengan penyampaian, sambil menegaskan bahawa walaupun kerumitan dalam pelaksanaan sesuatu inisiatif dapat difahami, ketidakpastian yang berpanjangan tidak seharusnya menjadi kebiasaan.
Terdahulu, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee menyentuh mengenai cadangan penubuhan Stock Exchange Brunei dan transformasi sistem pengangkutan awam yang memerlukan peneraju yang jelas, kesinambungan serta tindakan susulan yang terselaras bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Pada Mac 2026, majlis ini telah dimaklumkan bahawa bursa tersebut dijangka dilancarkan pada akhir suku ketiga 2027. Ini memerlukan aspek perundangan, pengawalseliaan dan teknologi, bersama institusi kewangan, syarikat berpotensi untuk disenaraikan dan pelabur untuk bergerak seiring,” ujar Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai transformasi perkhidmatan bas awam, Yang Berhormat berkata, rancangan menyeluruh mengenainya telah dibentangkan pada tahun 2015, diikuti cadangan rangkaian laluan pada tahun 2016 dengan pelaksanaannya disasarkan bermula pada pertengahan 2017.
Sejak itu, tambah Yang Berhormat, projek berkenaan telah melalui beberapa peringkat termasuk kajian lanjut, reka bentuk semula dan proses perolehan. Pada bulan Mac 2026, rundingan telah diteruskan dengan dua buah syarikat terpilih di bawah proses Permintaan Cadangan.
Yang Berhormat turut mengalu-alukan rancangan memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit pada tahun ini dan berharap pelaksanaannya dapat direalisasikan seperti yang dirancang supaya orang ramai dapat menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih mudah, fleksibel dan boleh dipercayai.
“Perkara ini menjadi penting dalam konteks persediaan ‘kitani’ bagi Visit Brunei Year 2027. Kejayaannya memerlukan sektor pelancongan, pengangkutan, imigresen, kastam, perkhidmatan perbandaran, kerja raya, pengendali swasta dan masyarakat setempat untuk memberikan perkhidmatan sebagai satu sistem bersepadu.
“Bagi pelancong, pengalaman mereka di Brunei tidak terbahagi mengikut sempadan kementerian atau agensi. Mereka mengalaminya sebagai satu perjalanan,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat menekankan, tumpuan bukanlah terhadap tempoh pelaksanaan semata-mata kerana projek berskala besar sememangnya memerlukan perancangan, rundingan dan persediaan teknikal yang rapi, sebaliknya bagaimana tempoh daripada pengumuman hingga pelaksanaannya dapat diurus secara lebih berdisiplin dan cekap.
“Apabila inisiatif penting berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas, keyakinan orang ramai boleh terjejas,” tegas Yang Berhormat.
Kata Yang Berhormat, setiap inisiatif utama yang melibatkan pelbagai agensi perlu mempunyai peneraju yang jelas, garis masa yang realistik, pembahagian tanggungjawab, penanda aras khusus, mekanisme bagi menangani isu yang belum diselesaikan serta pemantauan berkala.
Yang Berhormat turut bersetuju bahawa sekiranya sesuatu sasaran tidak lagi dapat dicapai, penyebabnya hendaklah dikenal pasti lebih awal, langkah pembetulan diambil dan hala tuju baharu dimaklumkan dengan jelas.