Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Dalam usaha menyokong Penyelaras Sektor Sosial bagi meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan terus komited menyediakan kediaman yang selesa, selamat, dan mampu milik, dengan sasaran 85 peratus pemilikan rumah menjelang 2035. Sehingga kini, kadar pemilikan rumah telah mencapai 68.1 peratus.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyatakan perkara tersebut dalam ulasan mengenai keutamaan kedua, iaitu menyediakan asas yang berdaya tahan dan efisien pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, dari segi pencapaian semasa, projek Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lugu Fasa 2 telah berjaya disiapkan dengan penyediaan 1,000 unit rumah teres.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 892 unit telah diagihkan kepada pemohon yang layak. Pada 6 Julai 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Anak-anak Kunci Rumah di kawasan Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara kepada 300 penerima, yang merupakan sebahagian daripada 892 penerima yang telah diperuntukkan rumah jenis teres di RPN Kampung Lugu Fasa 2,” jelas Yang Berhormat.
Sementara itu, Projek RPN Kampung Tanah Jambu Fasa 7 yang melibatkan 950 unit rumah teres kini berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun ini, tambah Yang Berhormat.
Di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, kongsi Yang Berhormat, sekurang-kurangnya 1,606 unit rumah baharu akan dibina melalui pelaksanaan projek-projek utama, iaitu RPN Kampung Lugu Fasa 2B sebanyak 576 unit rumah teres, RPN Kampung Rimba Fasa 6 sebanyak 330 unit rumah teres, RPN Kampung Salambigar sebanyak 300 unit rumah teres dan RPN Kampung Lumut Fasa 7 sebanyak 400 unit rumah teres.
Ujar Yang Berhormat, dalam memastikan kesinambungan pembangunan perumahan negara, Kementerian Pembangunan juga telah mengenal pasti beberapa tapak baharu di keempat-empat daerah. Antara tapak yang dikenal pasti termasuk Lambak Kanan dan Meragang di Daerah Brunei dan Muara; Lumut Fasa 7 dan Lorong Tengah di Daerah Belait; Bukit Beruang di Daerah Tutong serta Rataie Fasa 6 di Daerah Temburong.
Selain merancang dan melaksanakan projek, satu dasar baharu telah diperkenankan pada 12 Januari 2026, iaitu satu mekanisme bagi membolehkan pengambilan alih permohonan Skim Perumahan Negara oleh suami atau isteri, anak atau anak angkat berdaftar bagi pemohon-pemohon yang meninggal dunia mengikut tahun permohonan asal permohonan sebelum diperuntukkan tanah dan rumah di bawah Skim Perumahan Negara.