Kementerian Pertahanan terima kunjungan rasmi

29 Jul 2026 - 7:10am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BOLKIAH GARISON, Selasa, 28 Julai. - Kementerian Pertahanan hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Menteri Pertahanan Nasional, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun.

Sejurus ketibaan di Kementerian Pertahanan, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun telah menerima Tabik Hormat, diikuti dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

Seterusnya, Tuan Yang Terutama mengadakan Mesyuarat Dua Hala bersama Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut menyertai TYT ialah bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Rakyat China.

Semasa Mesyuarat Dua Hala tersebut, kedua-dua belah pihak mengesahkan hubungan pertahanan yang erat antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China yang terus diperkukuhkan  melalui Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan, penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama,  Atase Pertahanan yang menetap serta pelbagai inisiatif termasuk lawatan-lawatan kapal tentera laut, kursus dan lawatan-lawatan kerja.

Kedua-dua belah pihak juga aktif berinteraksi melalui platform Mesyuarat Menteri - menteri Pertahanan  ASEAN-Plus (ADMM-Plus). 

Pada masa ini, NBD dan Republik Rakyat China sedang mempengerusikan bersama  ADMM-Plus Experts’ Working Group on Peacekeeping Operations  bagi kitaran 2024-2027.