BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi kenaikan pangkat dan pelantikan beberapa orang pegawai kanan seperti berikut :
Pengarah Hiliran, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Pengiran Hajah Adimasyaton binti Pengiran Omar Ali dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Tenaga, Huluan dan Hiliran) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut sebagai Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat) di KHEDN.
Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan sebagai Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat) di KHEDN.
Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) di KHEDN.
Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar, Korporat dan Perancangan) di KHEDN, Dayang Siti Norashikin binti Mohammad Salleh untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia) di KHEDN.
Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I) di Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Fiskal) di Kementerian Kewangan.
Pengarah Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan.
Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Chin Wei Keh untuk dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan untuk dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenankan bagi penstrukturan dan penyusunan semula fungsi-fungsi di KHEDN seperti berikut iaitu Pusat Pekerjaan Brunei (JobCentre Brunei) dan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), JPM untuk diserapkan ke KHEDN dan Jabatan Buruh dijenamakan sebagai Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.
Tarikh kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai-pegawai kanan berkenaan serta penyerapan fungsi-fungsi Pusat Pekerjaan Brunei (JobCentre Brunei) dan PPTM, JPM ke KHEDN serta penjenamaan Jabatan Buruh ke Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan berkuat kuasa mulai Selasa, 20 Safar 1448 Hijrah bersamaan 4 Ogos 2026 Masihi.