Kepentingan mengintegrasikan kelestarian dalam sistem pendidikan

14 Okt 2026 - 10:47am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 13 Oktober. - Pelan Pendidikan Hijau 2025 - 2035, yang dilancarkan bersempena dengan Persidangan Majlis SEAMEO Kali Ke-53 di Negara Brunei Darussalam (NBD) pada bulan Julai 2025 oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyediakan hala tuju bagi mengintegrasikan kelestarian dalam keseluruhan sistem pendidikan kita.

Hala tuju ini turut melengkapi Dasar Perubahan Iklim NBD, khususnya 10 Strategi mengenai 'Kesedaran dan Pendidikan'. Dalam sabda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, menekankan kepentingan mengintegrasikan kelestarian dalam seluruh sistem pendidikan serta memperkukuh penyelidikan secara kolaboratif bagi menyokong penggubalan dasar dan pelaksanaan amalan yang berkesan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengarah SEAMEO VOCTECH Kali Ke-37 dan Pelancaran Awal Indeks Kesediaan Pendidikan Hijau (Greening Education Readiness Index - GERI) bertempat di Dewan Seri Kerna, SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.

Bagi menterjemahkan dasar-dasar kita kepada pelaksanaan terang Yang Berhormat, kita perlu memahami tahap kesediaan institusi-institusi kita serta mengenal pasti aspek yang memerlukan sokongan lanjut.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan mengalu-alukan inisiatif SEAMEO VOCTECH, dengan sokongan GIZ-RECOTwin dan rakan-rakannya, untuk membangunkan Indeks Kesediaan Pendidikan Hijau (Greening Education Readiness Index - GERI).

GERI ujar Yang Berhormat, menyediakan kerangka kerja berasaskan bukti untuk menilai tahap kesediaan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam mengintegrasikan aspek kelestarian ke dalam kurikulum, pembangunan tenaga pengajar, pengurusan operasi kampus, tadbir urus, kerjasama strategik serta penglibatan komuniti.

Selain berfungsi sebagai instrumen penilaian, GERI juga bertujuan membantu institusi mengenal pasti kekuatan dan jurang yang perlu ditangani, menetapkan keutamaan serta memantau kemajuan dari semasa ke semasa.

''Berasaskan pengalaman SEAMEO VOCTECH dalam melaksanakan Indeks Kesediaan Pendidikan Pintar (Smart Education Readiness Index - SERI), kajian GERI menghimpunkan para penyelidik negara, Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta rakan kerjasama serantau dari 11 Negara Anggota SEAMEO. Kerjasama ini akan menghasilkan bukti, amalan terbaik dan cadangan bagi menyokong penambahbaikan institusi serta pembangunan dasar.

''Saya menggalakkan institusi yang mengambil bahagian untuk memanfaatkan dapatan kajian ini sebagai panduan dalam melaksanakan penambahbaikan praktikal dalam pengajaran dan pembelajaran, pengurusan operasi kampus serta penglibatan dengan pihak industri.

''Tanggungjawab bersama kita adalah untuk mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran yang diperlukan bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau. Usaha ini memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi pendidikan dan latihan, pihak industri, komuniti serta rakan pembangunan. Inisiatif seperti GERI membuktikan bagaimana kerjasama serantau dapat menterjemahkan komitmen bersama kepada tindakan yang praktikal dan berkesan,'' kata Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat dalam ucapannya turut merakamkan ucapan tahniah kepada SEAMEO VOCTECH, GIZ-RECOTwin, kementerian-kementerian yang terlibat, para penyelidik, institusi TVET serta semua rakan kerjasama atas sumbangan masing-masing.

Yang Berhormat melahirkan harapan agar dapatan yang diperoleh dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh pendidikan dan latihan ke arah masa depan yang lebih hijau, inklusif dan mampan.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam ucapannya berkata beliau amat berbesar hati untuk melihat sumbangan SEAMEO VOCTECH yang semakin berkembang dalam menyokong penggubalan dasar pendidikan berasaskan bukti serta pembangunan institusi.

Di NBD kongsi Yang Berhormat, pusat ini telah menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan Kajian Kebolehpasaran Graduan bagi Institusi Pengajian Tinggi dan TVET, Tinjauan Kepuasan Majikan, serta pembangunan dan pelaksanaan Indeks Kesediaan Pendidikan Pintar (Smart Education Readiness Index - SERI) bagi menilai tahap kesediaan institusi dalam menghadapi transformasi digital.

Usaha ini kata Yang Berhormat lagi, adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Lima Tahun SEAMEO VOCTECH Ke-7 yang bertemakan 'TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital' (Inclusive TVET for a Green and Digital Future). Ketika pusat ini memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan pembangunan tersebut, tumpuan terhadap keterangkuman, pendigitalan dan kelestarian amat bertepatan dengan keperluan semasa. Keutamaan ini juga amat selari dengan hala tuju pembangunan pendidikan di NBD.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bahawa Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan 2023 - 2027 menjadi panduan dalam memanfaatkan teknologi bagi mentransformasikan pendidikan.

Seiring dengan itu tambah Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan turut memperkukuh kompetensi digital dalam kalangan guru dan pelajar serta mengeluarkan garis panduan mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan Generatif secara bertanggungjawab dalam pendidikan. Pada masa yang sama, aspek kelestarian semakin menjadi komponen penting dalam agenda pendidikan negara kita.