Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Selasa, 13 Oktober. - Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah mengadakan Majlis Perasmian Video 'Sindiket Dadah Antarabangsa' bertempat di Cinema 5, Deluxe Cinema, The Mall Cineplex, Tingkat 3, The Mall, di sini.
Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram (HAD), Tahun 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, yang juga menyempurnakan perasmian pelancaran video berkenaan.
Selaras dengan tema kebangsaan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram tahun ini, 'Sindiket Dadah Musuh Sejagat', pelancaran video berkenaan merupakan salah satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran awam dan pihak berkepentingan mengenai ancaman sindiket pengedaran dadah, khususnya taktik memperdaya dan mengeksploitasi individu untuk terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah antarabangsa.
Video berdurasi 16 minit berkenaan diinspirasikan daripada kisah benar seorang rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD) yang telah menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa setelah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
Melalui tayangan video berkenaan, orang ramai diharap dapat memahami dengan lebih jelas taktik yang digunakan oleh sindiket dadah serta risiko dan akibat penglibatan dalam kegiatan berkenaan, sekali gus meningkatkan kewaspadaan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang mencurigakan.
Inisiatif berkenaan turut bertujuan memperkukuh kesedaran dan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, pihak berkepentingan serta masyarakat dalam usaha bersama mencegah dan membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Sebanyak 10 episod 'docudrama' berkenaan akan diterbitkan dan disiarkan secara bersiri melalui platform Instagram rasmi BKN, iaitu @nodrugsatall juga akan disalurkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB).
Penganjuran acara berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan BKN dalam memperkukuh pendidikan pencegahan dadah dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan serta pengedaran dadah demi kesejahteraan dan keselamatan NBD.