SEAMEO VOCTECH rasmikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Ke-37

14 Okt 2026 - 7:56am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 13 Oktober. - SEAMEO VOCTECH secara rasmi memulakan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kali Ke-37 menerusi majlis pembukaan yang berlangsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh yang juga merupakan Presiden Majlis SEAMEO.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Green Education Readiness Index (GERI) Framework and Assessment Tool for TVET Institutions iaitu Kerangka Indeks Kesediaan Pendidikan Hijau dan Alat Penilaian bagi Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pelancaran tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kesediaan institusi TVET di seluruh Asia Tenggara untuk melaksanakan peralihan ke arah pendidikan dan latihan yang lebih lestari serta mesra alam.

Mesyuarat Lembaga Pengarah berkenaan merupakan platform tahunan penting bagi SEAMEO VOCTECH untuk membentangkan pencapaian serta perkembangan utama bagi Tahun Kewangan 2025 - 2026, di samping menggariskan inisiatif strategik yang dirancang bagi tahun mendatang.

Sepanjang mesyuarat tersebut, ahli-ahli lembaga turut meneliti dan membincangkan kertas-kertas kerja yang dikategorikan mengikut perkara untuk makluman, kelulusan, pertimbangan dan informasi. Perbincangan berkenaan bertujuan memastikan tadbir urus yang berkesan serta penjajaran strategik dalam pelaksanaan program dan inisiatif pusat berkenaan.

Mesyuarat itu diharap akan terus memperkukuh kerjasama serantau dalam memajukan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, khususnya dalam mendukung agenda peralihan hijau serta pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa hadapan di rantau Asia Tenggara.

Sehubungan dengan mesyuarat berkenaan, SEAMEO VOCTECH akan menganjurkan Sesi Perkongsian pada 14 Oktober 2026 bertemakan 'Future-Ready TVET in Southeast Asia : Leading the Twin Transition through Innovation, Inclusion, and Partnerships'.

Sesi tersebut akan menjadi platform bagi negara-negara anggota SEAMEO dan rakan-rakan kerjasama untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama dalam memajukan TVET di rantau ini.

Tema berkenaan mengetengahkan transformasi TVET ke arah sistem pendidikan dan latihan yang inklusif, inovatif serta bersedia menghadapi keperluan masa hadapan. Usaha itu bertujuan melengkapkan tenaga kerja di Asia Tenggara dengan kemahiran yang bersesuaian bagi mendukung perkembangan ekonomi hijau dan digital melalui kerjasama erat di peringkat serantau dan industri.

Mesyuarat Lembaga Pengarah SEAMEO VOCTECH Kali Ke-37 dan Sesi Perkongsian itu akan diakhiri dengan lawatan pendidikan ke Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), di samping lawatan kebudayaan bagi memberi peluang kepada para delegasi untuk mengenali warisan, tradisi dan tarikan tempatan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Mesyuarat Lembaga Pengarah yang diadakan setiap tahun pada bulan Oktober itu menghimpunkan 11 ahli Lembaga Pengarah SEAMEO VOCTECH bagi memastikan hala tuju strategik pusat berkenaan sentiasa sejajar dengan keutamaan pendidikan SEAMEO secara keseluruhan.

Penganjuran acara tersebut mencerminkan kepentingan kerjasama serantau, inovasi dan kemajuan dalam bidang TVET, sekali gus menegaskan komitmen SEAMEO VOCTECH untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif melalui pendidikan serta pembangunan kemahiran.

Hadir sama ialah para duta dan pesuruhjaya tinggi dari negara-negara anggota dan anggota bersekutu SEAMEO ke NBD; Pengerusi Lembaga Pengarah SEAMEO VOCTECH, ahli-ahli Ex-Officios, ahli lembaga dan wakil-wakil; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan serta rakan-rakan strategik pihak pengurusan dan kakitangan pusat berkenaan.