Kerjasama dua hala NBD - Republik Singapura dalam hal ehwal ugama diperkukuh

14 Okt 2026 - 10:51am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, yang sedang dalam rangka lawatan ke Negara Brunei Darussalam (NBD) selama tiga hari bermula dari 11 hingga 13 Oktober 2026.

Kunjungan hormat berkenaan diadakan di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei.

Semasa kunjungan hormat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, NBD dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura berbincang mengenai usaha mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara, khususnya dalam perkhidmatan ugama antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta MUIB, NBD.

Hadir sama pada majlis kunjungan hormat berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Naib Yang Dipertua MUIB; Ahli-ahli MUIB; Setiausaha Tetap, KHEU; Timbalan Setiausaha Tetap, KHEU; dan para pegawai kanan yang berkenaan.

Menyertai Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad semasa kunjungan hormat berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat; dan Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen berserta rombongan.

Lawatan berkenaan merupakan kunjungan pertama Tuan Yang Terutama ke NBD selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura.

Lawatan berkenaan bertujuan untuk mempererat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada antara NBD dengan Republik Singapura termasuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-bidang Kerjasama antara MUIB dan MUIS yang diadakan pada hari yang sama.