Kepentingan penyelarasan pastikan aspirasi negara terlaksana

4 Og 2026 - 8:18am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Penubuhan Menteri-menteri Penyelaras merupakan satu langkah yang signifikan dalam memperkukuhkan keupayaan institusi kerajaan untuk menerajui agenda pembangunan negara.

Lebih-lebih lagi ketika Wawasan Brunei 2035 kini memasuki fasa pelaksanaan yang semakin menentukan, penyelarasan yang lebih mantap adalah penting bagi memastikan aspirasi negara terus dilaksanakan secara teratur, konsisten dan berkesan.

Demikian antara yang diujarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat turut melihat bahawa asas-asas pembangunan telah banyak dibentuk, keutamaan kini bukan lagi hanya kepada penyediaan dasar dan pelan tindakan tetapi bagaimana segala usaha tersebut dapat bergerak secara saling memperkukuhkan agar menghasilkan impak yang lebih menyeluruh.

Daripada pemerhatian Yang Berhormat, penyelarasan sering difahami dalam konteks hubungan antara kementerian. Namun apabila meneliti aspirasi Wawasan Brunei 2035, Yang Berhormat melihat skop penyelarasan sebenarnya jauh lebih luas daripada itu.

Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja merupakan agenda kerajaan malah ia juga merupakan agenda pembangunan negara yang memerlukan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai peranan dan pengaruh masing-masing.

“Sektor swasta menentukan keupayaan ekonomi berkembang. Institusi pendidikan menyediakan modal insan yang diperlukan oleh negara. Badan-badan profesional menyumbang kepakaran.

“Institusi penyelidikan menghasilkan pengetahuan baharu. Majlis Perundingan Kampung memahami realiti masyarakat di peringkat akar umbi, manakala pertubuhan-pertubuhan masyarakat pula sering menjadi rakan penting dalam melaksanakan pelbagai inisiatif sosial,” ujar Yang Berhormat.

Kesemua ini membentuk ekosistem pembangunan negara. Dalam hubungan ini, Yang Berhormat berpandangan bahawa mekanisme penyelarasan turut membuka ruang untuk memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dengan keseluruhan ekosistem tersebut melalui penglibatan yang lebih berterusan, supaya pandangan, pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai pihak dapat dimanfaatkan lebih awal dalam membentuk keutamaan pembangunan negara.

“Pendekatan sedemikian akan memperkukuhkan lagi rasa pemilikan bersama terhadap Wawasan Brunei 2035 kerana pencapaiannya bergantung kepada sejauh mana seluruh negara bergerak dengan kefahaman dan matlamat yang sama,” tambah Yang Berhormat.

Dalam pentadbiran, jelas Yang Berhormat, kita sering memberikan perhatian kepada bagaimana sesuatu isu diselesaikan. Walau bagaimanapun, pada pandangan Yang Berhormat, sama pentingnya ialah bagaimana sesuatu isu dapat dikenal pasti sebelum ia berkembang menjadi cabaran yang lebih besar.

Landskap pembangunan hari ini, ujar Yang Berhormat, berubah dengan begitu pantas malah perkembangan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI), perubahan struktur penduduk, tekanan ekonomi global serta peningkatan jangkaan masyarakat terhadap Perkhidmatan Awam berlaku serentak dan memberi kesan merentas pelbagai sektor.

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat melihat mekanisme penyelarasan mempunyai potensi untuk menjadi ruang di mana pelbagai analisis dan pandangan strategik daripada kementerian serta pihak-pihak berkepentingan dapat dihimpunkan bagi mengenal pasti arah perubahan yang sedang berlaku serta implikasinya kepada negara.

Keupayaan ini membolehkan pertimbangan strategik dibuat lebih awal serta membantu kerajaan menyediakan tindak balas yang lebih tersusun dan berpandangan jauh.

“Dalam agenda pembangunan jangka panjang, kejelasan dan konsistensi dasar merupakan asas kepada keyakinan. Ia membolehkan sektor swasta membuat keputusan pelaburan, institusi pendidikan merancangkan pembangunan bakat dan masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang berlaku.

“Pada pandangan kaola, penyelarasan yang mantap turut menyumbang kepada pembentukan keyakinan tersebut. Apabila keutamaan negara diterjemahkan secara konsisten merentasi pelbagai kementerian, pihak-pihak di luar kerajaan akan lebih mudah memahami arah pembangunan negara dan merancang tindakan masing-masing selaras dengan keutamaan tersebut.

“Dalam erti kata lain, penyelarasan buka sahaja memperkukuh hubungan dalam pentadbiran kerajaan, tetapi memperkukuhkan keyakinan seluruh ekosistem pembangunan terhadap hala tuju negara,” jelas Yang Berhormat lagi.

Sebagai Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat melihat bahawa pendekatan ini memberikan perspektif baharu kepada peranan MMN. Pandangan yang dibawa ke dewan ini lahir daripada pengalaman masyarakat, daerah dan pelbagai sektor yang diwakili. Oleh itu, ahli-ahli berupaya menyumbang perspektif rentas sektor yang dapat memperkaya proses penyelarasan dan pelaksanaan dasar negara.

“Kaola yakin penubuhan Menteri-menteri Penyelaras merupakan satu langkah yang tepat dan berpandangan jauh. Di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta komitmen seluruh jemaah menteri, kaola yakin mekanisme ini akan menjadi satu lagi pemangkin penting dalam memperkukuhkan perjalanan negara ke arah merealisasikan aspirasi negara,” ujar Yang Berhormat mengakhiri usul menyokong penyelarasan tersebut.

Selesai.