Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, malam tadi menghoskan Majlis Resepsi Hari Pasukan Pertahanan Diri Jepun (Japan Self-Defense Forces Day) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Resepsi berkenaan diadakan bagi memperingati Hari Pasukan Pertahanan Diri Jepun, di samping menandakan penempatan baharu Atase Pertahanan di Kedutaan Jepun pada tahun ini.
Majlis tersebut merupakan resepsi seumpamanya yang pertama kali diadakan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD menekankan komitmen Jepun untuk terus memperkukuh hubungan perkongsian dengan ASEAN, yang memainkan peranan penting dalam kerjasama serantau berikutan kedudukannya yang strategik di persimpangan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Menurut Tuan Yang Terutama, Jepun secara konsisten menyokong prinsip kepusatan dan perpaduan ASEAN serta percaya bahawa kerjasama erat dan penyelarasan usaha dengan ASEAN merupakan kunci dalam mewujudkan persekitaran keselamatan serantau yang berdaya tahan, stabil dan makmur.
Sehubungan itu, Jepun menerusi inisiatif kerjasama pertahanannya dengan ASEAN, iaitu Vientiane Vision 2.0, memberikan penekanan kepada kerjasama berteraskan hubungan erat antara rakyat dan akan terus menggalakkan kerjasama praktikal di rantau ini.
Dalam konteks berkenaan, TYT menegaskan bahawa NBD, yang terletak di tengah-tengah rantau ASEAN dan dikenali sebagai 'Abode of Peace', memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
TYT turut menyifatkan NBD sebagai rakan kongsi yang amat bernilai kepada ASEAN dan Jepun.
Sejak termeterainya Memorandum Kerjasama dan Pertukaran Pertahanan pada 2023, Jepun dan NBD terus memperkukuh kerjasama praktikal melalui pelbagai rangka kerja, termasuk Dialog Dasar Pertahanan.
Selain itu, pelbagai inisiatif pertukaran antara rakyat kedua-dua negara turut menyumbang kepada usaha mempererat hubungan dan meningkatkan persefahaman bersama.
Antara inisiatif berkenaan termasuk latihan persahabatan semasa persinggahan kapal Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF), Program 'The Japan-ASEAN Ship Rider Program'. 'The Japan-ASEAN Women, Peace and Security Cooperation Project' dan 'The Japan-ASEAN Cyber Security Cooperation Project'.
Menurut TYT lagi, inisiatif-inisiatif tersebut menyediakan asas yang kukuh bagi memperdalam kepercayaan bersama dan menggalakkan persefahaman antara Jepun dengan NBD, sekali gus menyokong usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Resepsi berkenaan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan NBD dan ABDB, anggota kor diplomatik serta atase-atase pertahanan yang bertugas di NBD.
Kedutaan Jepun di NBD akan terus berusaha memperkukuh kerjasama dan pertukaran dalam bidang pertahanan antara Jepun dan NBD.