Kerjasama antarabangsa perkukuh keupayaan negara dalam kawal gunaan nuklear

28 Okt 2026 - 6:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

VIENNA, AUSTRIA, Selasa, 27 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Persidangan Agung Ke-70 Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency - IAEA) yang berlangsung dari 14 hingga 18 September 2026 di Vienna, Austria.

Persidangan berkenaan telah menghimpunkan negara-negara anggota IAEA bagi membincangkan keutamaan dan perkembangan utama dalam bidang sains dan teknologi nuklear, termasuk aspek keselamatan, sekuriti dan kawal guna nuklear, serta penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman dalam bidang kesihatan seperti keterjaminan bekalan makanan, kesihatan manusia perlindungan alam sekitar, perancangan tenaga dan pengurusan sisa radioaktif.

Delegasi NBD telah diketuai oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, selaku Pegawai Perhubungan Kebangsaan (National Liaison Officer - NLO) bagi NBD.

Dalam menyampaikan Kenyataan NBD, Dayang Hajah Farida menegaskan semula komitmen negara terhadap penggunaan sains dan teknologi nuklear secara aman, selamat dan terjamin.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh keupayaan negara dalam aspek keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan nuklear, di samping mengiktiraf potensi penggunaan teknologi nuklear dalam menyokong sektor penjagaan kesihatan, keterjaminan bekalan makanan, perlindungan alam sekitar dan perancangan tenaga jangka panjang.

Dayang Hajah Farida seterusnya menjelaskan NBD juga mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota terbaharu IAEA.

Delegasi berkenaan turut disertai oleh wakil-wakil dari Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) serta Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran (DoEUD), di JPM.

Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad, selaku Penolong Pegawai Perhubungan Kebangsaan (National Liaison Assistant - NLA), bersama pegawai-pegawai SHENA telah menyertai perbincangan mengenai keselamatan, sekuriti dan pengawalseliaan nuklear serta radiasi.

Sementara itu, wakil-wakil DoEUD turut menyumbang kepada perbincangan mengenai dasar tenaga negara, perancangan serta pembangunan keupayaan pada masa hadapan.

Sepanjang persidangan berkenaan, delegasi telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi.

Pertemuan berkenaan menegaskan semula kerjasama antara NBD dan IAEA, dengan perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan negara dalam penggunaan sains dan teknologi nuklear secara aman, khususnya dalam bidang makanan dan pertanian, kesihatan, perlindungan alam sekitar serta perancangan tenaga.

Ketua Pengarah IAEA turut menegaskan semula komitmen pihak IAEA untuk menyediakan kepakaran teknikal bagi menyokong perbincangan di peringkat kebangsaan dalam Forum Sains dan Teknologi Nuklear (Nuclear Science and Technology - NST) NBD.

Satu pencapaian penting ialah penandatanganan Rangka Kerja Program Negara Kedua (Second Country Programme Framework - CPF) antara NBD dan IAEA, yang dimeterai bersama Timbalan Ketua Pengarah merangkap Ketua Jabatan Kerjasama Teknikal IAEA, Hua Liu.

Rangka kerja berkenaan merupakan kesinambungan kepada CPF pertama dan menggariskan bidang-bidang keutamaan bagi kerjasama teknikal pada masa hadapan, termasuk tadbir urus negara, kesihatan, pendidikan, makanan dan pertanian, perlindungan alam sekitar, perancangan tenaga serta penyelarasan antara agensi kerajaan.

Delegasi juga telah menghadiri beberapa acara sampingan teknikal dan perbincangan dua hala bersama wakil-wakil IAEA yang merangkumi pembangunan kapasiti, pembangunan kawal selia, kesiapsiagaan kecemasan, pengurusan sisa radioaktif serta kerjasama serantau. Perbincangan berkenaan membuka peluang pertukaran pengetahuan dan pengalaman, di samping mengenal pasti peluang bagi kerjasama teknikal dan pembangunan keupayaan yang berterusan.

Di samping itu, wakil-wakil SHENA turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kebangsaan Alam Sekitar Singapura (National Environment Agency - NEA), Geraldine Low, semasa perjumpaan wakil-wakil Rangkaian Badan Pengawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy - ASEANTOM).

Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pengawalseliaan serantau serta memudah cara pertukaran pandangan mengenai keselamatan, sekuriti dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan nuklear dan radiologi.

Penyertaan NBD dalam Persidangan Agung Ke-70 IAEA mencerminkan komitmen berterusan negara dalam kerjasama antarabangsa dan serantau dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Melalui penglibatan berkenaan, NBD terus berusaha meningkatkan keupayaan teknikal, pengawalseliaan dan institusi negara bagi mendukung penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan terjamin demi pembangunan negara.