Berita dan Foto: Nurdiyanah Rajami
TEMBURONG, Selasa, 4 Ogos. – Perpaduan menjadi satu sumber kekuatan dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara. Kita semua umpama satu keluarga, cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Begitulah kita yang hidup dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Limpahan rahmat Ilahi di bumi Negara Brunei Darussalam (NBD), kita terus merasai nikmat perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat yang telah wujud sekian lama.
Salah satunya jelas terbukti apabila himpunan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama tetap bersatu untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong hari ini bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80, Tahun 2026 berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.
Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual Yang Dipertua Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB), Leftenan Kolonel (B) Tamin bin Tuah yang antaranya meluahkan jiwa kesyukuran dengan seluruh warga PLBMB sekali lagi diberi peluang untuk bersama-sama menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan.
"Bagi kami, penyertaan dalam majlis ini bukan sekadar satu penghormatan malah merupakan lambang kasih sayang, kesetiaan dan rasa syukur rakyat kepada seorang raja yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
"Majlis seperti ini juga memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan keunikan budaya Puak Murut Brunei kepada baginda dan kerabat diraja serta masyarakat umum, sekali gus memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda," ujarnya lagi.
Pada tahun ini kongsi Leftenan Kolonel (B) Tamin, seramai 80 ahli PLBMB dan warga Puak Murut terlibat secara langsung dalam menjayakan majlis bagi menjunjung keberangkatan baginda dan kerabat diraja. Mereka terdiri daripada para penari, pemuzik tradisional, petugas pameran kebudayaan, peserta demonstrasi adat serta sukarelawan yang membantu dalam penyediaan bantuan kelengkapan dan penyambutan tetamu. Penglibatan berkenaan mencerminkan semangat kerjasama, perpaduan dan komitmen masyarakat Lun Bawang Murut dalam memelihara warisan budaya serta menyokong acara-acara kenegaraan.
Dalam pada itu, beliau yang berasal dari Daerah Temburong turut menambah bahawa sebagai rakyat NBD, Puak Murut juga amat bersyukur atas nikmat keamanan, kestabilan dan pembangunan yang telah dinikmati di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Bagi masyarakat di Daerah Temburong khususnya, Leftenan Kolonel (B) Tamin seterusnya menjelaskan, pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) telah membawa perubahan yang amat besar. Ia bukan sahaja menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong, malah mempercepatkan perjalanan, memudahkan urusan harian serta mengurangkan kos logistik bagi petani, peladang, peniaga dan pengusaha tempatan. Akses yang lebih mudah turut memberi kesan positif kepada harga barangan dan peluang ekonomi.
Selain itu jelas beliau lagi, pembangunan institusi pendidikan seperti sekolah menengah baharu serta pembinaan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Daerah Temburong menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan di daerah ini. Pelaksanaan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Temburong juga memberi manfaat kepada masyarakat melalui peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi serta penglibatan belia dalam pembangunan negara.
"Di samping itu, projek-projek menaik taraf bekalan elektrik, air dan infrastruktur awam yang sedang dilaksanakan akan terus meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan penduduk Daerah Temburong.
"Secara keseluruhannya, masyarakat Lun Bawang Murut amat menghargai keprihatinan Kebawah DYMM terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat di seluruh negara," ujarnya lagi.
Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Masyarakat Iban Temburong, Janlita anak Mingan ketika berkesempatan ditemu bual Pelita Brunei antaranya mengongsikan lebih kurang 100 ahli Persatuan Masyarakat Iban Temburong telah menghadiri majlis berkenaan.
"Saya berasa amat gembira kerana majlis ini memberi peluang yang sangat bermakna untuk bertemu dan beramah mesra dengan Kebawah DYMM. Kehadiran baginda mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat Iban.
"Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah menyemarakkan semangat perpaduan, keharmonian, dan rasa bangga menjadi sebahagian daripada penduduk di NBD," tambahnya.
Sebelum mengakhiri temu bual, beliau juga meluahkan masyarakat Iban turut menikmati kebajikan dan kesejahteraan yang sama seperti masyarakat lain, tanpa ketinggalan dalam menerima perhatian, kemudahan, serta peluang pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.
"Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80. Semoga dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan tubuh badan, dimurahkan rezeki dan kekal karar memerintah NBD. Daulat kebawah Duli Tuan Patik!," ujarnya di akhir pertemuan bersama Pelita Brunei.