Kindergarten Showcase ketengahkan kebolehan, keterampilan, kreativiti murid

3 Og 2026 - 6:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei Madang

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. -  Dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan pembelajaran murid-murid di peringkat kindergarten (KG), Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (STJ PGGMB), Madang telah mengadakan 'Kindergarten Showcase' bagi memperlihatkan pencapaian murid-murid dalam pelbagai bidang persembahan seperti nyanyian, tarian, lakonan pendek dan ‘public speaking’ dalam kalangan KG1 hingga KG3.

Aktivti berkenaan secara tidak langsung menampilkan kebolehan, keterampilan dan kreativiti mereka dalam pelbagai aktiviti yang diikuti sepanjang setengah tahun berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', seterusnya Lagu Sekolah - Pendidikan Teras Kehidupan, dan ucapan alu-aluan daripada guru besar sekolah serta persembahan pentas daripada murid- murid KG1 hingga KG3.

Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB, Madang, Dayang Suriamah binti Kawi menjelaskan bahawa Kindergarten Showcase berkenaan memperlihatkan dan menguji kemahiran, bakat dan potensi para murid di sekolah berkenaan dalam pembelajaran mereka.

Jelasnya lagi, ia juga merupakan landasan yang efektif bagi murid-murid membina kemahiran hidup seperti bersosialisasi, berkomunikasi dan bekerjasama dengan rakan-rakan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, Jawatankuasa Tertinggi (JKTT), guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.

Murid-murid kindergarten telah memperlihatkan persembahan yang sangat baik dan berkualiti sejajar dengan potensi dan usia mereka. KG1 telah mempersembahkan nyanyian dan tarian bertajuk 'Gummy Bear', manakala persembahan tarian daripada KG2, dengan tajuk 'Drop It Like Its Hot' dan 'Kaca Mania', sementara KG3 pula mempersembahkan lakonan dan tarian pendek, manakala persembahan Public Speaking pula disampaikan oleh murid-murid KG2.

Diharapkan STJ PGGMB, Madang akan terus mempertingkatkan dan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tinggi diperingkat kindergarten.

Para ibu bapa juga menzahirkan rasa terima kasih atas kesungguhan dan komitmen guru-guru mendidik anak-anak mereka. Mereka juga sangat teruja melihat kebolehan anak-anak mereka.