Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perkhidmatan Pengurusan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri hari ini menerima lawatan daripada 11 orang peserta Kohort Ke-3 Program Pemimpin Muda dan Bakal Pemimpin Republik Demokratik Timor-Leste bagi ASEAN (Futuru Lider Ba ASEAN - FLBA), baru-baru ini.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres, bersama pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari Jabatan Perdana Menteri serta MSD.
Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Pengiran Mohd. Fadly Harfinie bin Pengiran Haji Mohd. Kassim, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan. Semasa lawatan tersebut, para peserta diberikan taklimat mengenai Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang serta Pemedulian, dua inisiatif MSD yang menyokong usaha memperkukuh prestasi organisasi, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam serta menggalakkan budaya penambahbaikan berterusan dalam Perkhidmatan Awam Negara.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi amalan baik dalam bidang tadbir urus dan pembaharuan sektor awam, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama antara negara anggota ASEAN.