Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Ihsan Akmal Muazzam
GADONG, Selasa, 4 Ogos. - Kepentingan memperkukuh ketelusan, ketepatan serta kebolehpercayaan dalam data gas rumah hijau dapat menyokong penggubalan dasar dan proses pembuatan keputusan (decision-making) yang berkaitan dengan perubahan iklim.
Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar berucap demikian pada Majlis Pembukaan Workshop on Greenhouse Gas Inventories in Asia kali Ke-23 (WGIA23), bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Jelasnya lagi, inventori gas rumah hijau yang kukuh adalah penting bagi membolehkan negara menjejaki tahap pelepasan, menilai kemajuan serta merangka strategi mitigasi yang berkesan, di samping mengiktiraf peranan platform seperti WGIA dalam menggalakkan kerjasama teknikal, perkongsian pengetahuan serta pembangunan kapasiti dalam kalangan negara-negara di rantau ini.
Selaras dengan itu katanya lagi, tema utama WGIA23 memfokuskan kepada metodologi perkiraan pelepasan dan pengurangan gas rumah hijau daripada sektor tenaga, di samping sesi teknikal serta aktiviti pembelajaran bersama termasuk latihan teknikal penggunaan IPCC Inventory Software.
Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Climate Change Office - BCCO) merupakan tuan rumah dan penganjur bersama bagi WGIA23 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos 2026.
Sebagai sebahagian daripada program teknikal WGIA23, para peserta akan mengadakan lawatan sambil belajar (study tour) ke Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) bagi melihat secara langsung amalan pengurusan data dan pelaporan pelepasan gas rumah hijau di peringkat fasiliti dalam sektor tenaga.
Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh kefahaman peserta mengenai hubungan antara operasi industri, pengumpulan data aktiviti dan penyediaan inventori gas rumah hijau di peringkat nasional.
Bengkel berkenaan merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Jepun melalui Kementerian Alam Sekitar Jepun (Ministry of the Environment, Japan) dan National Institute for Environmental Studies (NIES), bersama Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui BCCO.
Sejak penubuhannya pada 2003, WGIA telah menjadi sebuah platform kerjasama serantau yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan kapasiti teknikal negara-negara di Asia dalam penyediaan inventori gas rumah hijau, selaras dengan keperluan pelaporan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change - UNFCCC) serta Perjanjian Paris.
Bengkel WGIA23 menghimpunkan pegawai-pegawai kerajaan, pakar-pakar teknikal serta penyelaras inventori gas rumah hijau daripada beberapa negara di Asia bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan teknikal serta amalan terbaik dalam penyediaan inventori gas rumah hijau.
Penganjuran bengkel berkenaan akan turut menyokong usaha negara dalam memperkukuh sistem pengurusan dan pelaporan data gas rumah hijau di peringkat nasional. Pada 2023, NBD telah memperkenalkan Mandatory Reporting Directive on Greenhouse Gas (MRD) bagi menyelaraskan piawaian pelaporan data pelepasan dan pengurangan gas rumah hijau di peringkat fasiliti.
Melalui penganjuran WGIA23, NBD juga akan dapat terus memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang perubahan iklim serta meningkatkan pembangunan kapasiti teknikal dalam penyediaan inventori gas rumah hijau, selaras dengan keperluan Enhanced Transparency Framework di bawah Perjanjian Paris.
NBD kekal komited dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menangani isu perubahan iklim, khususnya dalam meningkatkan ketelusan serta keupayaan teknikal dalam pelaporan inventori gas rumah hijau di rantau ini.
Turut hadir, Pengarah BCCO, Ir. Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi.