Lawatan kongsi amalan terbaik bidang pendidikan

5 Og 2026 - 5:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei Lambak

REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 4 Ogos. - Rombongan lawatan Sekolah Tunas Jaya (STJ) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Lambak ke sekolah di Republik Singapura diteruskan hari ini ke Unity Primary School.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh guru besar, penolong-penolong guru besar dan guru-guru sekolah berkenaan.

Guru Besar, Unity Primary School turut menyampaikan penerangan ringkas mengenai sejarah, pencapaian dan amalan terbaik sekolah tersebut hingga kini.

Rombongan juga diberikan taklimat mengenai dengan profil, perkembangan dan kemajuan sekolah oleh guru kanan pentadbiran dan akademik sekolah berkenaan.

Turut diadakan ialah sesi perbincangan di antara kedua-dua pihak bagi berkongsi mengenai tatacara menangani murid-murid yang mempunyai prestasi pendidikan yang rendah, ‘low learner’, ‘special needs’ selain cara memberikan motivasi kepada para murid berkenaan.

Hasil daripada perbincangan berkenaan telah memberikan input yang positif dan dapat diaplikasikan di Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, rombongan juga dibawa melawat ke bilik-bilik kelas, bilik komputer, kelas berkeperluan khas dan kantin sekolah.

Pada lawatan berkenaan, murid-murid dari STJ PGGMB Lambak turut mempersembahkan beberapa Cultural Show kepada pihak sekolah.