Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Ahad, 30 Ogos. - Seramai 208 peserta khatam diraikan pagi tadi pada Majlis Khatam Al-Quran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun, bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, di sini.
Majlis yang dianjurkan oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) berkenaan juga diadakan bersempena dengan ulang tahun penubuhan PGGMB yang telah mencapai usia 87 tahun penubuhannya pada tahun 2026.
Hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Juga hadir, Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Tadbir PGGMB.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan dan diiringi isyarat kod tangan Al-Quran oleh Pelajar Istimewa.
Acara diteruskan dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai bermula daripada Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Tahlil serta bacaan Doa Khatam oleh para peserta khatam.
Majlis diakhiri dengan bacaan Dikir Marhaban dan Doa Selamat.
Aktiviti tahunan PGGMB berkenaan dikelolakan oleh Bahagian Agama PGGMB dengan kerjasama Bahagian Wanita dan Kebajikan, guru-guru besar dan guru-guru sekolah-sekolah PGGMB, serta kakitangan ibu pejabat dan sekolah PGGMB.
Majlis antara lain diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan umur panjang, kesihatan yang berpanjangan dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan berlandaskan Al-Quran 'Baldatun Thayyibatuan Wa Rabbun Ghafur'.
Ia dihasratkan untuk mengenang jasa dan mendoakan keampunan serta memohon rahmat Allah Subhanahu Wata'ala ke atas roh para pengasas penubuhan PGGMB.
Selain itu, Majlis Khatam Al-Quran juga diadakan untuk meraikan individu atau kumpulan yang telah selesai membaca keseluruhan 30 juzuk Al-Quran serta memperoleh keberkatan dan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Penubuhan PGGMB diasaskan pada tahun 1937 dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 1939, dengan matlamat awal untuk menjaga kepentingan serta meningkatkan taraf hidup guru-guru Melayu Brunei.