Mekanisme kelulusan pantas disediakan bagi projek pelaburan

6 Og 2026 - 5:16am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Dalam usaha memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan, pelaksanaan sistem dalam talian 1MOD e-Tanah membolehkan urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara digital.

Di samping itu, mekanisme kelulusan laluan pantas (fast-track) turut disediakan bagi projek-projek Pelaburan Langsung Asing melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) supaya projek dapat dimulakan dengan segera.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid ketika mengulas mengenai keutamaan ketiga, iaitu memudahkan urusan perniagaan dan perumahan rakyat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

“Dalam usaha memudah cara pelaburan dan perniagaan di negara ini, Kementerian Pembangunan menerusi Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang telah memperkenalkan Program GLL (Government Land Lease) iaitu dasar baharu bagi menawarkan tapak tanah kerajaan yang dikenal pasti berdaya maju untuk dimajukan dengan kemajuan bercampur (mixed development) dan akan ditawarkan melalui proses tawaran secara terbuka kepada pihak-pihak swasta yang berminat,” jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Menurut Yang Berhormat, dari segi pembangunan perniagaan tempatan, Kementerian Pembangunan menerusi ABCi turut melaksanakan Program Pembangunan Kontraktor yang ditubuhkan bagi membantu syarikat binaan tempatan Kelas I dan II untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti kerja mereka.

Setakat ini, sebanyak 40 syarikat telah berjaya menamatkan program berkenaan yang ditawarkan secara percuma oleh kementerian dan lebih banyak syarikat dijangka akan menyertainya pada masa akan datang.

Sebagai penutup, Yang Berhormat menyatakan kejayaan bahawa kejayaan pembangunan negara bukan sahaja diukur melalui pembinaan infrastruktur fizikal, malah yang lebih penting ialah keupayaan tenaga kerja tempatan.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan akan terus memperkukuh pembangunan kapasiti pegawai, jurutera, profesional teknikal serta kontraktor tempatan agar lebih berkemahiran, berintegriti, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran pembangunan masa hadapan.

Dalam melangkah ke hadapan, tambah Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan akan kekal komited memastikan pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan bergerak seiring sebagai dua asas yang saling melengkapi dalam membina sebuah Negara Brunei Darussalam yang lebih makmur, berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.

Dengan semangat tersebut, kementerian akan memainkan peranannya sebagai pemudah cara pembangunan negara, dalam menyokong pelaksanaan dan pencapaian Wawasan Brunei 2035 ujar Yang Berhormat.

“Akhir kalam, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta mohon syafaat Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat diraja dan rakyat serta penduduk negara ini sekaliannya sentiasa dikurniakan taufik, hidayah, rahmat dan inayah Allah Subhanahu Wa’taala, dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan dalam keadaan penuh keafiatan di bawah perlindungan dan diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin,” tambah Yang Berhormat.