Memacu pembangunan inovasi tempatan bagi memenuhi keperluan, aspirasi NBD

5 Og 2026 - 7:21am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Selasa, 4 Ogos. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos berkata,  ketika negara melangkah ke arah merealisasikan  Wawasan Brunei 2035,  keutamaan kini perlu beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan.

Menurut Yang Berhormat lagi, dengan  Digital Brunei 2030  sebagai landasan strategik yang kukuh, tumpuan kini adalah untuk menterjemahkan aspirasi kepada tindakan serta dasar kepada hasil yang bermakna dan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagi merealisasikan matlamat berkenaan,  Yang Berhormat menggariskan lima prinsip utama yang perlu menjadi panduan dalam mempercepatkan transformasi digital negara, iaitu meletakkan rakyat dan hasil sebagai keutamaan; memperkukuh kerjasama merentas organisasi; membina kepercayaan melalui pendekatan yang mengutamakan keselamatan dan tadbir urus; memperkasa keupayaan rakyat secara berterusan; serta mengukur pencapaian berdasarkan impak yang benar-benar membawa perubahan.

Yang Berhormat  Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi  menyatakan perkara berkenaan  semasa menyampaikan ucaptama bertajuk 'Transformasi Digital di Brunei : Merealisasikan Dasar kepada Impak' (Digital Transformation In Brunei: Turning Policy Into Impact) semasa pembukaan Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (The Digital Future Conference and Exhibition - DFCE) 2026 yang berlangsung di Munawarrah Hall, Setia Point, di sini.

Menurut Yang Berhormat, kejayaan transformasi digital di Negara Brunei Darussalam (NBD) harus diukur melalui penyampaian Perkhidmatan Awam (PA) yang lancar dan mudah diakses, peningkatan produktiviti yang dapat diukur, kepelbagaian ekonomi menerusi pembangunan ekosistem teknologi tempatan yang berdaya saing, serta pengukuhan daya tahan dan keyakinan masyarakat melalui keselamatan siber dan perlindungan data yang mantap.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa usaha membangunkan keupayaan rakyat perlu disokong dengan memperkukuh syarikat-syarikat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) tempatan.

Industri ICT tempatan yang kukuh tambah Yang Berhormat, adalah penting dalam menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang berdaya maju dari segi komersial, di samping memacu pembangunan inovasi tempatan yang mampu memenuhi keperluan serta aspirasi NBD.

Yang Berhormat turut menzahirkan rasa gembira atas usaha  Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI)  yang bakal memperkenalkan  IKTIRAF,  iaitu sebuah program akreditasi yang bertujuan memperkukuh daya saing serta meningkatkan standard profesional industri ICT tempatan.

Menurut Yang Berhormat, program berkenaan bertujuan untuk menggalakkan syarikat-syarikat ICT tempatan terus memperkukuh kompetensi teknikal, meningkatkan standard profesional, mengamalkan tadbir urus yang baik serta mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Yang Berhormat menjelaskan bahawa  IKTIRAF  bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan atau pensijilan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada peningkatan daya saing industri dengan mewujudkan ekosistem berasaskan merit yang menghargai kualiti dan keupayaan, di samping mendorong syarikat-syarikat tempatan untuk terus meningkatkan prestasi secara berterusan.

"Program ini memberi isyarat kepada pasaran tempatan dan antarabangsa bahawa syarikat ICT Brunei yang memperoleh akreditasi mempunyai tahap kesediaan, kebolehpercayaan dan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian digital bertaraf dunia," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menegaskan bahawa transformasi digital bukan sekadar berkaitan penggunaan teknologi semata-mata, sebaliknya mengenai bagaimana teknologi dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk membina NBD yang lebih saling berhubung, inklusif, produktif dan berdaya tahan yang mewujudkan manfaat yang berkekalan kepada rakyat serta generasi masa kini dan akan datang.

Mengakhiri ucaptamanya, Yang Berhormat menggesa semua untuk sama-sama berganding bahu dengan iltizam yang kukuh bagi membina sebuah ekonomi digital yang berdaya tahan, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Menyentuh mengenai Kecerdasan Buatan (AI), Yang Berhormat berkata keputusan yang dibuat pada hari ini berkaitan pembangunan, tadbir urus dan penggunaan teknologi berkenaan akan memberi kesan yang besar kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menyeru agar NBD menjadi peneraju dalam pembangunan AI yang bertanggungjawab dengan memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa masyarakat, bukannya mewujudkan jurang atau pengecualian, serta menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan bukannya ketidaksamaan.