Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kemajuan teknologi perlu diterima dan dimanfaatkan dengan yakin, tetapi manfaatnya hendaklah dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat serta sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan tanggungjawab.
Perkara ini digariskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menyampaikan kenyataan menteri yang bertajuk ‘Mendepan AI Dalam Pengajaran dan Pembelajaran : Hala Tuju Strategik Kementerian Pendidikan’ semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara(MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyatakan bahawa Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) bukan lagi sekadar teknologi yang digunakan untuk mencari maklumat atau menghasilkan jawapan.
Keupayaannya, jelas Yang Berhormat, semakin berkembang untuk menganalisis data, menyediakan kandungan, memberikan maklum balas, membantu membuat keputusan dan melaksanakan pelbagai tugasan yang sebelum ini hanya dapat dilakukan oleh manusia.
Perkembangan ini akan membawa perubahan besar kepada cara manusia hidup, bekerja, berkomunikasi dan belajar dan ia juga akan mengubah bentuk pekerjaan, keperluan kemahiran serta peranan institusi pendidikan dan para pendidik, terang Yang Berhormat.
“Oleh itu, persoalan yang perlu kita pertimbangkan bukan lagi sama ada AI akan menjadi sebahagian daripada pendidikan tetapi adakah kita berupaya membina pengetahuan, kepakaran dan keupayaan kita sendiri untuk mencorakkan penggunaan AI mengikut keperluan dan nilai Negara Brunei Darussalam?
“Persoalan inilah yang menjadi asas kepada konsep ‘Sovereign AI’, iaitu keupayaan sesebuah negara untuk menentukan sendiri bagaimana teknologi AI dibangunkan, digunakan dan ditadbir demi kepentingan negara.
“Ini termasuk memastikan AI bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, malah dibangunkan berlandaskan undang-undang, nilai, budaya dan pegangan agama, agar teknologi ini mencerminkan identiti serta aspirasi negara, dan bukannya dipengaruhi sepenuhnya oleh nilai dan keutamaan pihak luar,” jelas Yang Berhormat.
Oleh yang demikian, ujar Yang Berhormat, dalam era AI, pendidikan memikul dua amanah yang perlu dilaksanakan secara seiring. Kongsi Yang Berhormat lagi, pertama, menyediakan para pelajar dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan untuk hidup, bekerja dan menyumbang dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh AI.
Kedua, tambah Yang Berhormat, memastikan bahawa kemajuan teknologi tidak menghakis nilai kemanusiaan, akhlak, jati diri, daya fikir serta tanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara.
Dalam menyusun hala tuju ini, terang Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan menjunjung tinggi pandangan jauh dan kebijaksanaan yang terkandung dalam titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah bersamaan dengan 2026 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi AI secara inklusif dan beretika demi pembangunan masyarakat, jelas Yang Berhormat lagi.
“Titah tersebut memberikan panduan yang jelas dan seimbang. Kemajuan teknologi perlu diterima dan dimanfaatkan dengan yakin tetapi manfaatnya hendaklah dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat serta sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan tanggungjawab,” ujar Yang Berhormat.
Atas dasar ini, Yang Berhormat menjelaskan lagi bahawa persediaan pelajar menghadapi era AI perlu merangkumi empat dimensi.
Dimensi yang pertama ialah untuk memahami bagaimana AI berfungsi, keupayaan serta batasannya; kedua ialah untuk menggunakan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab; ketiga ialah untuk memanfaatkan AI sebagai rakan dan alat bantu pembelajaran dan keempat ialah memperkukuh keupayaan insani seperti kebijaksanaan, kreativiti, empati, integriti, kepimpinan dan pertimbangan moral yang tidak seharusnya diserahkan kepada teknologi.